Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi Kini Dinikmati Sektor Pengangkutan Darat – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kaedah subsidi bersasar sudah diputuskan kerajaan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), ia telah dimulakan dengan subsidi elektrik dan kini diperluaskan kepada subsidi diesel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MTEN hari ini telah bersetuju untuk memberi tumpuan khusus menambah baik sistem subsidi diesel.

Kata beliau, ia dilaksanakan melalui langkah-langkah seperti memperluaskan pemberian diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat (barangan) melalui mekanisme fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Langkah ini akan memastikan sektor logistik yang menguruskan edaran barangan menerima diesel bersubsidi, sebagai sebahagian dari usaha Kerajaan mengekang inflasi.

“Peluasan pensasaran subsidi diesel ini akan memanfaatkan sembilan jenis kenderaan sektor barangan iaitu lori kargo am, lori minuman botol, lori refrigerated, lori kuton/kotak, penggerak utama, lori tangki tepung, lori tangki air, panel van dan window van,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, sistem sedia ada ditambah baik dengan memastikan kenderaan yang mengambil bekalan diesel dari stesen minyak atau skid tank akan dilengkapi dengan sistem fleet card untuk memantau penggunaan diesel dan mengelakkan ketirisan (kos pemasangan sistem fleet card ditanggung oleh syarikat pengangkutan).

Jelas beliau, kerajaan akan mengimbangi keperluan memperbaiki kedudukan fiskal negara dengan langkah-langkah yang melindungi kumpulan sasar supaya penstrukturan ekonomi negara ke arah berdaya saing dapat dilakukan secara berfasa dengan kesan sosial yang minima.

Katanya usaha menambah baik sistem subsidi diesel yang menyaksikan tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion bagi tahun 2022.

“Semakan menunjukkan penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus iaitu 6.1 bilion liter dalam tahun 2019 (pra-COVID) kepada 8.4 bilion liter dalam tahun 2022 (pasca-Covid), sedangkan jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan diesel hanya meningkat 2.4 peratus (dari 2.08 juta dalam tahun 2019 ke 2.13 juta dalam tahun 2022).

“Peningkatan mendadak penggunaan diesel berbanding jumlah kenderaan diesel membayangkan ketirisan melalui penyeludupan yang perlu ditangani segera,” jelas Perdana Menteri lagi.

Untuk rekod, kata Anwar lagi kerajaan telah pun melaksanakan program pensasaran subsidi secara berperingkat bermula Januari 2023 yang melibatkan subsidi elektrik.

“Bermula Januari 2023, kerajaan tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat-syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap yang tinggi.

“Dasar ini akan diteruskan untuk menjayakan program pensasaran subsidi kerajaan. Langkah ini dijangka akan menjimatkan tanggungan subsidi elektrik Kerajaan sebanyak RM5 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun 2023 (bergantung kepada harga semasa bahan api). Penjimatan ini akan disalurkan kepada perbelanjaan-perbelanjaan rakyat yang lain,” kata beliau lagi.

Selain itu, Anwar memamklumkan MTEN juga akan mempersiapkan keperluan sistem data yang lebih menyeluruh untuk menilai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah.

“Sebuah pangkalan data utama yang dipanggil Padu akan menggabungkan seberapa banyak maklumat sosio ekonomi bagi setiap isi rumah akan dibangunkan segera untuk membantu Kerajaan mensasarkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

“Maklumat di peringkat isi rumah akan meliputi perkara-perkara seperti bilangan isi rumah, rekod pendapatan di dalam isi rumah, tanggungan anak isi rumah mengikut peringkat pendidikan, lokasi isi rumah, bilangan kenderaan isi rumah, rekod bantuan yang telah diterima dari jabatan kerajaan di dalam isi rumah dan maklumat-maklumat lain yang boleh membantu menentukan pendapatan boleh belanja (disposable income) setiap isi rumah.

“Kewujudan Padu akan membantu kerajaan memastikan sebarang program pensasaran subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur untuk mengelakkan sebarang keciciran dari kalangan penerima isi rumah yang layak.

“Padu yang menggunakan data sedia ada dari agensi kerajaan sudah pun berfungsi. Versi Padu yang menggunakan real time data dijangka akan berfungsi sepenuhnya dalam bulan Januari 2024,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat