Pengadil Cetus Kontroversi Dalam Aksi Liga-M Digantung Tugas Serta Merta

- Advertisement -

Dua pengadil yang mencetuskan kontroversi dalam aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dikenakan tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM menerusi kenyataan memaklumkan pengadil aksi Liga Super di antara Melaka United dan PJ City FC, Mohd Fairuzi Mat Desa dikenakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta.

Beliau juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas.

“Beliau perlu bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Mohd Fairuzi yang mempunyai pengalaman mengadili Liga-M sejak 2015, didapati gagal mengesan tindakan simulasi atau ‘diving’ pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri di dalam kotak penalti untuk menghadiahkan sepakan penalti pada Rabu lalu.

Ahmad Khairil, yang lebih dikenali sebagai Beto dan pemain Melaka United, Alex dos Santos Goncalves yang sengaja membaling bola ke arah pengadil selepas meraikan gol kedua pasukan pada penghujung perlawanan, dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu berkesudahan dengan keputusan terikat 2-2.

Sementara itu, pengadil perlawanan Liga Premier di antara Kelantan FC dan Perak FC II pada 6 Mac, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin didapati berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

“Biarpun secara keseluruhan prestasinya sepanjang perlawanan tersebut adalah memuaskan berdasarkan laporan daripada Penilai Pengadil, beliau akan dirujuk kepada Nagor Amir untuk mengikuti program penambahbaikan.

“Ia bagi memperbaiki keupayaan jangkaan permainan, posisi dan pergerakan dalam permainan dan hanya akan diberi lantikan semula untuk mengadili perlawanan akan datang selepas selesai program penambahbaikan dan penilaian dibuat terhadapnya,” menurut FAM.

Penyerang import Inggeris itu pula dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya menolak pengadil secara agresif selepas berang dengan pengadil berada di kedudukan yang menghalang percubaannya.

Aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu menyaksikan Perak FC II pulang dengan tiga mata menerusi kemenangan 1-0. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat