KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyarankan kerajaan Pusat mengekalkan pencen beberapa perkhidmatan yang kritikal sekiranya pemansuhan skim berkenaan untuk penjawat awam dilaksanakan.
Beliau berkata perkhidmatan awam berkenaan adalah membabitkan pertahanan, keselamatan, pendidikan dan kesihatan serta anggota bomba.
Ini kerana katanya, kerajaan akan berdepan dengan isu besar seperti mengurangkan minat rakyat memohon pekerjaan itu sekali gus memberi risiko besar kepada negara.
“Ada sektor tertentu sekiranya tidak ditawarkan pencen selepas bersara contohnya tentera, polis, bomba dan guru. Ini adalah sektor pekerjaan yang kritikal. Orang tak ada pilihan, seperti askar ini kerjanya teruk.
“Dia letak nyawa di situ main dengan senjata, latihan dia juga sangat berisiko untuk menjadi seorang anggota tentera. Bila bersara tak ada pencen, dia nak kerja apa?
“Saya rasa ada sektor tertentu yang saya rasa boleh nak diteruskan tetapi sektor kritikal sektor utama, macam jururawat atau misi bekerja syif tinggal anak dan suami.
“Kerja syif saya nampak mereka stres dan kerja itu sangat penting bagi negara sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan ini saya rasa perlu kekal skim pencen,” katanya menurut BH di Alor Setar.
Kelmarin, media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini dalam peringkat akhir melaksanakan kajian berkaitan menggantikan skim pencen penjawat awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, banyak perkara perlu diteliti sebelum keputusan akhir diambil yang membabitkan pindaan kepada perundangan dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata kerajaan Persekutuan perlu memikirkan langkah terbaik untuk memastikan sektor kritikal itu tidak terjejas pada masa hadapan selain menganggap pencen itu sebagai bebanan kepada kewangan negara.
Katanya, pencen adalah tanggungjawab negara dan ia perlu diuruskan dengan baik oleh kerajaan.
“Jadi bebanan negara? Kerajaan kena tanggung. Itu sebabnya wujudkan negara, negara kena tanggung, kena susun benda itu jangan sampai gagal,” katanya.