Kes Nik Elin: Keputusan tak hakis bidang kuasa mahkamah syariah – Mohamad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa agar Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Mengubal Undang-undang Islam diperkasakan sebagai platform konsultansi dan badan advokasi berautoriti ke atas negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan dalam memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah.

Ini supaya apa juga pindaan atau penggubalan peruntukan baharu undang-undang syariah menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dengan melibatkan semua wakil negeri-negeri dan Persekutuan.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Amanah sebagai parti yang menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sentiasa menyokong penuh usaha-usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah termasuk bidang kuasa mahkamah syariah selaras dengan beberapa peruntukan khusus berkaitan kedudukan Islam termasuk sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 (1) dan bidang kuasa undangundang di bawah Perkara 121 (1A) dan Senarai 2 Jadual Kesembilan.

“Oleh demikian, Amanah menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Nik Elin Zurina yang mana 16 peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah terbatal kerana ia melangkaui bidang kuasa negeri seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 4(1) menyatakan dengan jelas bahawa apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah terbatal.

“Justeru, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut mengikat rakyat Malaysia kerana fungsi mahkamah adalah menafsirkan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohamad, fungsi mahkamah ini harus dihormati bagi menjamin kestabilan pentadbiran negara yang berpegang kepada pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Maka, apa-apa dakwaan bahawa keputusan kes tersebut menentang undang-undang syariah adalah tidak berasas dan ianya satu permainan sentimen yang mengelirukan oleh sesetengah pihak.

“Amanah menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak langsung merungkai atau menghakis bidang kuasa mahkamah syariah.

“Undang-undang syariah tetap akan diperjuangkan Amanah untuk diperkasakan supaya kedudukan dan pelaksanaan setiap undang-undang syariah dijalankan secara berhikmah, harmoni dan selamat tanpa terbatal kerana tidak beperlembagaan.

“Amanah juga mengambil maklum dalam kes Mamat Daud vs. Kerajaan Malaysia (1988) 1 MLJ 119, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seksyen 298A Kanun Keseksaan terbatal kerana tidak beperlembagaan memandangkan kesalahan berkaitan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan mahkamah syariah. Mengambil kira kes ini, ia menunjukkan undang-undang sivil juga boleh terbatal apabila melangkaui bidang kuasa seperti mana senarai-senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat