Didakwa Khianat Anwar, Akmal Didesak Letak Jawatan Ketua Pemuda PKR

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ketua AMK (Pemuda) PKR, Akmal Nasir digesa meletakkan jawatan selepas perbualannya menerusi aplikasi Whatsapp yang didakwa mempersenda dan mengkhianat Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bocor di media sosial.

Gesaan itu dikemukakan Naib Ketua AMK, Jestin Raj Savarimuthu bersama enam lagi Exco AMK menerusi satu kenyataan media, semalam.

“Dapatlah disimpulkan bahawa mereka yang terlibat dalam perbualan tersebut tidak berpuas hati dengan presiden dan cuba melanggar arahan parti dalam beberapa isu yang dilontarkan.

“Tindakan ini dilihat sebagai cara membelakangkan Presiden dan pengkhianatan terhadap parti. Sehingga hari ini, tiada sebarang permohonan maaf ataupun penjelasan diberikan oleh pimpinan yang terlibat dalam perbualan tersebut terutama Akmal Nasir.

“Beliau juga seolah-olah telah hilang dari umum apabila telefonnya ditutup dan mesej tidak dibalas. Tindakan ini menunjukkan bahawa apa yang dibincangkan dalam perbualan WhatsApp tersebut adalah benar dan beliau tidak dapat mencari idea untuk menafikannya,” katanya.

Salinan perbualan dalam kumpulan Whatsapp ‘AMK Bersih’ yang tersebar itu antara lain meluahkan kekecewaan pemimpin AMK yang mempertikai kepimpinan Anwar yang didakwa tidak tetap pendirian dalam isu PRN Sabah, jawatan Perdana Menteri, pergaduhan sesama sendiri serta dakwaan ahli PKR dipermainkan oleh pimpinan parti.

“Macam mana dia kenakan kita waktu kongres AMK, dia akan buat lagi. Kesian orang yang percaya kita akan tanding 14 kerusi (di PRN Sabah).

“Anwar yang suruh Simsudin keluar kenyataan. Akhirnya bergaduh sama sendiri, Anwar kekal dewa.

“Kalau kita percaya kepada Anwar nak angkat orang muda, memang kena ‘game’ lagi.. ha..ha..

“Boleh. Anwar pemimpin kami. Kami percaya Anwar ialah imam mahdi,” itu antara petikan perbualan beberapa individu dalam kumpulan Whatsapp yang viral di media sosial itu.

Dalam perkembangan berkaitan, 14 Ketua AMK Negeri menyifatkan pembocoran perbualan Whatsapp itu sebagai cubaan melagakan kepimpinan parti.

Mereka mendakwa perbuatan sedemikian telah mencetuskan suasana tidak menentu dalam PKR.

“Kami percaya perkara ini juga akan dapat diharmonikan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) Malaysia yang melibatkan semua kepimpinan Pemuda Malaysia bersama ketua-ketua Pemuda negeri.

“Justeru, kami menyeru semua kepimpinan dan anggota Pemuda Malaysia di semua peringkat supaya bertenang dan berlaku adil serta memberikan ruang sewajarnya kepada kepimpinan untuk menjernihkan keadaan,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Ketua Pemuda Selangor Mohd Najwan Halimi, Azam Parap (Perlis), P Prabakaran (Kuala Lumpur), Raymond Ahuar (Sabah), Saifunizam Sam (Sarawak), Mohamed Firdaus Johari (Kedah) dan R Yuneswaran (Johor).

Prasant Kumar Brakasam (Melaka), Muhd Hafiz Muhd Kasasi (Kelantan), Fahmi Zainol (Pulau Pinang), Mohamad Hairul Amir Sabri (Perak), Mohd Mustaqim Abdul Jalil (Pahang), Mohd Hafiz Mohamad (Negeri Sembilan) dan Nazhan Zulkifli Amin (Terengganu).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat