Pan Borneo usaha transformasi pembangunan luar bandar – PM

- Advertisement -

SIBU- Kerajaan Persekutuan mengharapkan
supaya projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dapat mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya yang telah dilaksanakan di Semenanjung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana transformasi pembangunan luar bandar dan lonjakan potensi pertumbuhan ekonomi dan sosial dapat dizahirkan melalui rangkaian infrastruktur jalan raya yang baik.

Jelasnya, projek Lebuh Raya Pan Borneo bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi dan seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya.

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak merupakan bukti terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada secara lebih terancang,sistematik dan cekap bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.

“Selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMKe-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, projek tersebut akan memastikan pembangunan sosioekonomi dapat dilaksana dengan lebih baik bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh Keluarga Malaysia di negeri ini,” di Tapak Jejambat Selangau di Sibu pada Isnin.

Ismail Sabri memberitahu, secara keseluruhannya, projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik keseluruhan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,046 km.

Ujarnya, keseluruhan jajaran ini dinaikkan taraf kepada empat lorong dua hala sepanjang 192km di bawah rancangan pembangunan lima tahun negara manakala baki sepanjang 862km akan dilaksanakan dalam dua fasa.

“Bagi Fasa 1, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 km yang dibahagikan kepada 11 Pakej Kerja dari Telok Melano ke Miri, kerja-kerja pembinaan kini pada tahap 89 peratus siap. InsyaAllah, ia bakal siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan di Bumi Kenyalang yang dibuktikan dengan pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan juga dua lagi projek mega di utara negeri ini iaitu Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB),” kata beliau lagi.

Perdana Menteri menyatakan, kedua-dua projek mega ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya. Pilihan pertama, pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas melalui Negara Brunei Darussalam, boleh menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96km yang bakal ditambah baik kepada dua lorong dua hala.

“Pilihan kedua, pengguna jalan raya dari Miri boleh ke Limbang dan Lawas tanpa melalui Negara Brunei Darussalam menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km. Ia merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sejauh 77km.

“Projek mega ini yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion, membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa,” katanya.

Tambah Ismail Sabri lagi, dengan penelitian teknikal kini di peringkat akhir, kerajaan komited memulakan pembinaan Fasa 2 Projek SSLR dan Projek LTB seawal tahun hadapan dengan tempoh pembinaannya bakal memakan masa tiga hingga lima tahun.

“Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada ‘jalan laluan balak’ sebagai jalan perhubungan utama.

“Pada majlis hari ini, Jajaran Selangau sepanjang 27km melibatkan kos pembinaan RM588 juta, merupakan antara jajaran dalam Pakej Kerja 08 yang termasuk kerja-kerja naik taraf jalan raya sedia ada daripada Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 67km yang mula dibina sejak November 2016.

“Skop pembinaan jajaran ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan yang sedia ada, pembinaan tujuh buah jambatan, 19 buah hentian bas dan sebuah persimpangan bertingkat. Kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya pada 14 November 2022,” jelasnya.

Dalam pada itu kata Perdana Menteri lagi, projek ini membuka peluang kepada Keluarga Malaysia di Sarawak untuk terlibat sama sebagai perunding, pembekal atau kontraktor, dalam memacu ekonomi tempatan dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi selain menyumbang kepada pembangunan Negeri Sarawak.

“Projek yang dirancang rapi dan bersifat holistic antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, juga bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) bagi membolehkan Sarawak mencapai taraf sebagai sebuah negeri maju,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat