Peserta AIM Berjaya Memiliki Dua Butik Pakaian Dan Kedai Hardware

- Advertisement -

MENCEBURKAN diri dalam bidang perniagaan bukanlah mudah seperti yang disangka. Namun jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh serta tadbir urus yang baik pastinya akan memperolehi kejayaan.

Berbekalkan semangat itu menjadi kunci kejayaan kepada usahawan Tengku Zaizah Tengku Ahmad, 49, yang kini berjaya memiliki dua butik pakaian di UTC Kuala Terengganu serta sebuah kedai Hardware di Bandar Baru Kerteh Kemaman.

Tengku Zaizah mula berjinak dalam bidang perniagaan pakaian dikenali Lyana Collection di Kerteh pada tahun 2003.

“Ketika itu saya hanya ada sebuah kedai kecil di Bandar Baru Kerteh dan berusaha untuk menaik taraf kedai saya itu sebelum saya berpindah di Mesra Mall Kerteh pada tahun 2008.

“Ketika itu saya kekurangan modal sehinggalah berjaya membuka butik di Mesra Mall Kerteh itu atas bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang meluluskan pinjaman sebanyak RM30,000,” katanya.

Katanya, bagi mengembangkan lagi perniagaannya, beliau mengambil keputusan membuka sebuah kedai ‘Hardware’ di Bandar Baru Kerteh pada tahun 2014.

“Saya ke pejabat AIM Terengganu berbincang dengan kakitangan AIM dan bersyukur diluluskan segera pinjaman sebanyak RM50,000 kerana saya berjaya menyelesaikan pinjaman pertama saya tepat pada masanya.

“Dalam tempoh setahun saya bersyukur kerana berjaya menyelesaikan kedua-dua pinjaman dengan AIM tepat dengan masanya,” katanya.

Menurutnya, atas usaha yang bersungguh-sungguh dan sikap berjimat cermat, beliau berjaya membuka dua buah lagi butik pakaian di UTC Paya Bunga Kuala Terengganu.

“Kesan pendemik COVID-19 yang melanda negara turut mendatangkan kesan kepada perniagaan saya. Tambahan sewa premis ketika itu dari RM16,000 sebulan dinaikkan  pihak pengurusan dengan kadar sewa kepada RM22,000 menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menutup perniagaan di situ.

“Alhamdulilah selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan PKP,  perniagaan hardware saya dikenali PRZ Bina Enterprise yang dibantu suami, Rosli Awang di Bandar Baru Kerteh dan kedua-dua butik pakaian saya di Kuala Terengganu mula meningkat naik.

“Saya terpaksa turun naik dari Kerteh dan Kuala Terengganu untuk menguruskan kesemua perniagaan saya itu.

“Benarlah kata orang tua, kalau kita bayar hutang dengan sempurna perniagaan kita akan diberkati dan mendapat rahmat keuntungannya.

“Insyaallah pada tahun hadapan saya akan membuka sebuah lagi cawangan kedai pakaian saya di Mayang Mall Kuala Terengganu dengan modal RM100,000 yang sudah saya sediakan,” katanya.

Katanya, dia sangat berterima kasih di atas bantuan pinjaman dan tunjuk ajar daripada pihak AIM sehingga kesemua perniagaannya maju.

“Di kesempatan ini saya ingin menasihati rakan-rakan yang membuat pinjaman dengan AIM supaya dapat menjelaskan pinjaman dengan tempoh yang tepat demi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan lain menggunakan pinjaman demi memajukan perniagaan mereka,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat