PRN Sabah: Tiada Modal Kempen, Guna Isu Perkauman

- Advertisement -

SIPITANG – Hanya mereka yang ketandusan modal menjadikan isu perkauman sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan mana-mana pemimpin atau parti yang menggunakan isu perkauman dalam PRN Sabah adalah mereka yang kehabisan modal.

Memetik laporan UMNO-Online, Mohamad menegaskan, sewajarnya sewaktu tempoh berkempen telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), masing-masing seharusnya mengeluarkan atau menyatakan hasrat bagaimana untuk melakukan atau melaksanakan sesuatu demi kepentingan rakyat.

“Parti atau pemimpin yang menggunakan isu perkauman…rasis itu adalah orang yang dah kehabisan modal. Nak menutup kelemahan sendiri maka cara di luar norma.

“Kalau nak berkempen kita terangkan kepada orang ramai bahawa parti kita jika diberikan peluang kita akan lakukan satu, dua, tiga, empat dan lima…malah kita mahu supaya siapa juga menang pengakhir cerita nanti rakyat akan menikmati kesejahteraan hidup,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menasihatkan, semasa tempoh berkempen ia sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan jangan sesekali memusnahkan apa yang telah dikecapi hari ini.

“Jangan kita musnahkan negara, keharmonian hidup di dalam negara yang berbilang kaum ini dalam masa empat belas hari. Berkempenlah secara sihat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai pertandingan yang melibatkan beberapa penjuru di dalam satu-satu DUN, beliau berpandangan ia merupakan satu proses demokrasi yang subur jika dilihat daripada sudut positif.

“Kalau kita lihat dari segi positifnya itu baik dan proses demokrasi subur di Malaysia dan khususnya di Sabah. Sabah boleh jadi satu ‘template’ kepada satu proses demokrasi yang meriah kerana dalam sistem pilihan raya di negara ini, kita menyuburkan semangat demokrasi dan sesiapa sahaja boleh berkempen dan menjadi calon.

“Itu sebabnya sekarang ini dah tidak ada waktu bantahan kerana kita tidak mahu menyekat orang daripada menawarkan diri untuk menjadi calon. Ramai yang menawarkan diri tidak mengapa dan masing-masing mempunyai peluang dan masing-masing ada kekuatan.

“Apa yang pentingnya kita berkempen secara sihat kerana kita berkempen 14 hari dan jangan musnahkan negeri atau negara kita dalam tempoh berkenaan kerana selepas tempoh berkempen esok, kita akan duduk bersama sebagai masyarakat Malaysia terutama masyarakat yang berbilang kaum dan kita perlu meneruskan kehidupan kita,” tambahnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat