‘Pelakon, kru Malaysia taraf dunia’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berkampung dua bulan di pedalaman Sarawak bagi menyiapkan pembikinan filem Edge of the World, pengarah terkenal Amerika Syarikat (AS), Michael Haussman kagum dengan persekitaran dan keupayaan bakat tempatan dalam industri kreatif yang wajar diberi pendedahan meluas di pasaran dunia.

Haussman yang pernah bekerjasama dengan ramai penggiat seni antarabangsa termasuk menghasilkan video muzik penyanyi termasyhur seperti Madonna, Justin Timberlake, Chemical Brothers, Shakira dan Kanye West, menganggap pengalaman menyiapkan filem di Malaysia sebagai sangat menakjubkan dengan sokongan baik diterima daripada kerajaan Malaysia dan Sarawak.

Tidak hairanlah, Haussman menggalakkan lebih ramai pembikin filem dari luar negara datang ke Malaysia bagi melakukan kerja penggambaran atau menjalin kerjasama dalam produksi filem.

“Sokongan yang saya terima sepanjang penggambaran filem Edge of the World sangat menakjubkan. Ini antara sokongan terbaik pernah saya terima.

“Kerajaan negeri memberi kerjasama yang sangat baik. Saya tidak ingat ada masalah di lokasi sebab semuanya lancar.

“Kejayaan filem Edge of the World disebabkan sokongan yang saya terima di Malaysia. Saya sering beritahu orang Borneo agar menubuhkan syarikat produksi sebab penerbit antarabangsa akan datang.

“Masalah utama sekarang adalah untuk memaklumkan kepada semua orang mengenai perkara ini (kelebihan Malaysia sebagai hab penggambaran filem) kerana ramai tidak tahu keistimewaan yang dimiliki negara ini.

“Jadi, lebih banyak penggiat tempatan membuat pendedahan dan memaklumkan perkara ini kepada orang di luar, lebih bagus,” katanya pada sesi Masterclass sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-5 di Dadi Cinema di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada edisi kali ini, filem arahan Haussman, Edge of the World dipilih sebagai naskhah pembukaan MIFFest Ke-5.

Edge of the World berkisar sejarah kedatangan tentera British dan pengembara, James Brooke ke Sarawak pada 1841.

Sejak aktif menjadi penulis dan pengarah, Haussman bukan nama asing dalam festival filem antarabangsa. Karya dihasilkannya pernah meraih trofi pada enam festival filem seperti The Audition yang mengungguli kategori Filem Asing Terbaik pada Festival Filem Pendek NYC Downtown.

 

Selain sutradara, Haussman yang menetap di Rom, Itali juga terkenal sebagai pengarah video muzik ramai penyanyi popular antarabangsa. – NSTP/Amiruddin Sahib

 

Selain festival filem di AS seperti Festival Filem Sundance, karya dihasilkan Haussman sering ditayangkan di festival filem antarabangsa di Cannes, Perancis; Venice, Itali dan Berlin, Jerman.

Drama bersiri hasil kerjasama Haussman dan Jude Law berjudul Do Not Disturb turut terpilih menyertai Cannes Series Festival pada 2019.

Haussman yang menetap di Rom, Itali, juga terkenal sebagai pengarah video muzik ramai penyanyi popular antarabangsa.

Antara video muzik popular arahannya adalah Take A Bow nyanyian Madonna yang meraih trofi Video Muzik Terbaik bagi penyanyi wanita MTV Video Music Awards dan Sexyback dendangan Justin Timberlake.

Haussman tidak teragak-agak datang lagi ke Malaysia jika diberi peluang melakukan kerja pembikinan filem di negara ini.

Selain itu, Haussman berpendapat industri perfileman Malaysia mempunyai ramai pengkarya dan penggiat belakang tabir berbakat besar.

“Pengalaman saya ketika menjayakan filem di Sarawak bersama Biscuit Films yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Selepas kerja penggambaran Edge of the World selesai, saya kembali lagi bagi memberi sokongan kepada MIFFest.

“Apa yang boleh saya katakan, saya suka industri perfileman di Malaysia. Kru yang pernah bekerjasama dengan saya semuanya menakjubkan.

“Menjayakan penggambaran di hutan adalah suatu yang sukar, tidak kiralah di negara mana pun. Namun, kru di sini memudahkan kerja itu.

“Bekerja dengan kru produksi di Malaysia memberi pengalaman menarik. Setiap orang menjalankan kerja dengan baik seperti pereka produksi hinggalah kostum, semuanya menakjubkan,” katanya.

Malah, Haussman memuji bakat dan kebolehan pelakon tempatan yang membintangi filem Edge of the World seperti Bront Palarae.

“Bront sudah menjadi teman rapat saya. Penggambaran filem itu bukan sahaja memberi saya peluang untuk mengenali pelakon tempatan, malah dapat menjalin dan mengekalkan hubungan baik dengan mereka,” katanya.

 

Haussman berkongsi pengalaman bersama penggiat seni ketika sesi Masterclass sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-5. – NSTP/Amiruddin Sahib

 

Selain Bront, Edge of the World turut dibintangi Shaheizy Sam dan Wan Hanafi Su.

Mengulas mengenai filem Edge of the World, Haussman menganggap pemilihan karyanya sebagai pembuka tirai MIFFest bertepatan kerana filem berkenaan menggabungkan bakat dari pelbagai negara.

“Ini adalah filem sejarah Borneo yang menampilkan pengarah dari AS serta pelakon Malaysia dan Indonesia. Saya tidak fikir ada filem lain yang lebih layak dipilih,” katanya yang menganggap buah tangan terbarunya itu sebagai filem Malaysia bertaraf antarabangsa.

Lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Haussman menganggap amat penting untuk pembikin filem atau artis, berkarya dalam pelbagai medium tidak kira iklan, muzik atau seni tertentu.

“Usaha ini penting kerana setiap kali kita menghasilkan projek baharu, kita bawa sesuatu yang berbeza, alternatif dan segar. Ini semua adalah hasil pelajaran kita daripada karya terdahulu.

“Sekarang tiada sebab yang menghalang anda menjadi seperti saya. Kalau anda menyatakan untuk berkecimpung dalam bidang ini perlukan wang, saya berasal dari keluarga yang tiada wang… Saya lalui kesukaran.

“Saya perlu pinjam kamera dan bekerja untuk membeli kelengkapan. Sekarang, anda hanya perlu telefon pintar untuk membuat filem. Jadi, mengapa tidak?

“Jika anda tahu apa yang dimahukan, rakam guna telefon pintar anda. Lakukannya dalam bentuk berbeza dan teruskan sahaja,” katanya.

Meraih trofi Pengarah Terbaik bagi filem Edge of the World pada Anugerah Septimius 2022 di Amsterdam, Belanda, Jun lalu.

Pernah menghasilkan iklan bagi jenama terkemuka dunia seperti Levi’s, Diesel, Absolut, Bulgari, BMW, Yves Saint Laurent (YSL) dan banyak lagi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat