Studio Kembara atur strategi teroka pasaran Turkiye

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam usaha melebarkan sayap dan meneroka pasaran baharu, penerbit filem mega, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan penggerak industri kreatif di Turkiye.

Penerbit merangkap Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali, berkata perjanjian persefahaman sudah ditandatangani dengan beberapa penerbit Turkiye ketika mengunjungi negara itu, Mac lalu.

“Kami sudah mencapai persefahaman dengan beberapa penerbit Turkiye untuk sama-sama memajukan industri perfileman.

“Pertemuan pertama diatur akhir Mac lalu dan penerbit di Turkiye sangat teruja serta sedia bekerjasama dengan Studio Kembara.

“Insya-Allah, kerjasama ini akan disusuli dengan perancangan yang lebih terperinci supaya persefahaman dicapai dapat diperkukuhkan lagi,” katanya.

Kolaborasi Studio Kembara dan rakan kerjasama di Turkiye diumumkan melalui Instagram (IG) rasmi Mat Kilau, baru-baru ini.

 

Studio Kembara bertemu dan sedia bekerjasama dengan beberapa penerbit Turkiye. – Foto Ihsan Studio Kembara

 

Abdul Rahman berharap kerjasama terjalin dapat memberi manfaat dan membatu penggerak industri kreatif di Malaysia dan Turkiye terutama dalam meningkatkan mutu karya.

“Kita ada potensi besar di Nusantara dengan kualiti karya kita yang bagus. Kita juga boleh menembusi pasaran Turkiye, Pakistan dan negara Islam lain.

“Antara persefahaman dicapai adalah usaha menaikkan kualiti pembikinan filem, melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang pengarahan filem dan pelakon bagus untuk mengisi pelbagai kandungan atau karya dihasilkan.

“Saya fikir perkara ini sangat baik dan selari dengan dasar dan pendirian kerajaan kita untuk mengadakan hubungan strategik dengan penggerak industri serantau dan negara yang lebih jauh lagi,” katanya.

Abdul Rahman menambah, lawatan ke Turkiye memberi peluang kepada Studio Kembara melihat sendiri usaha dilakukan penggiat seni di negara itu dalam mempromosi dan menggalakkan pembangunan industri perfileman.

“Kita lihat di Turkiye, kecenderungan atau tumpuan sudah beralih daripada nilai kebaratan kepada ketimuran. Ini merangkumi nilai Islam yang baik dan sangat sesuai dengan prospek pasaran yang luas di rantau kita.

“Orang Melayu di rantau ini mencecah 300 juta orang. Kalau dicampur populasi Turkiye dan Pakistan yang menghampiri 100 juta orang, ia jumlah yang sangat besar.

“Ini boleh mendatangkan pulangan yang baik kepada negara kita dan pada masa sama, membantu merangsang persahabatan yang lebih kukuh dalam bidang seni kreatif,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan penulis skrip filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Shahruddin Mt Dali berkata, pihaknya akan kembali ke Turkiye untuk mengadakan pertemuan seterusnya.

“Pada lawatan Mac lalu, kami dapat lihat keterujaan penggerak industri kreatif Turkiye yang sangat tidak dijangka. Mereka cukup gembira dengan kerjasama ini,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat