Bayar murah, beri kata dua pula – Jalil Hamid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelakon berkarisma, Jalil Hamid kecewa dengan sikap segelintir penerbit yang memperlekehkan bakat pelakon ‘senior’ apabila menawarkan bayaran tidak masuk akal.

Jalil, 64, mendedahkan ada syarikat produksi tidak berhati perut menawarkan dirinya bayaran RM150 untuk sebuah episod, lantas membuatkan beliau rasa terhina.

“Kenapa bayaran pelakon berusia lebih murah daripada pelakon muda? Adakah kerana pelakon muda popular dan ada ramai pengikut media sosial?

Jalil yang membintangi drama Ayahanda kesal andai pelakon berusia ditawarkan watak utama mereka disindir sebagai ‘hero tua’. Foto Ihsan TV3
Jalil yang membintangi drama Ayahanda kesal andai pelakon berusia ditawarkan watak utama mereka disindir sebagai ‘hero tua’. Foto Ihsan TV3

 

“Apakah pelakon berusia ini wajib dihina, dikutuk dan diketepikan? Orang tua juga dikurniakan bakat oleh Allah sama seperti pelakon lain,” katanya.

Jalil mengaku insiden ditawarkan bayaran serendah RM150 oleh penerbit sebuah produksi drama meninggalkan kesan kepada dirinya.

“Masih terngiang-ngiang bayaran RM150 untuk sebuah episod drama yang ditawarkan. Saya cuba untuk pergi ke set penggambaran pada hari pertama.

“Namun, saya tidak dapat meneruskan kerja kerana tindakan itu umpama penghinaan terhadap saya,” katanya pada sidang media mempromosikan drama bersiri Ayahanda secara virtual, semalam.

Pelakon filem Bisik Pada Langit ini kesal apabila pelakon berusia sering diperkotak-katikkan seolah-olah sudah menjadi amalan biasa dalam industri seni.

“Selain menerima bayaran murah, soal usia menjadi persoalan apabila muncul istilah ‘hero tua’ jika mereka diberi peluang menjadi teraju utama… Perkara ini sangat tidak adil buat kami.

“Setiap kali penerbit menawarkan bayaran rendah, mereka sering memberi kata dua sama ada kami terima atau mereka cari pelakon berusia lain.

“Malah, ada juga yang memandang remeh soal bayaran. Mereka anggap lebih baik kami terima sahaja tawaran biarpun bayaran sedikit daripada tiada kerja langsung,” katanya.

Mengulas drama rantaian Ayahanda arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Jalil atau nama penuh, Abdul Jalil Abdul Hamid berharap drama itu ditonton kerana sarat mesej berguna dan dapat mengubat kerinduan penonton terhadap suasana kampung.

Ayahanda diadapatasi daripada novel berdasarkan kisah benar nukilan Allahyarham Azizi Abdullah, penerima Anugerah SEA Write Award 1988 yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Karya yang mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang ini menyaksikan lakonan hebat Fauziah Ahmad Daud dan Fikry Ibrahim.

Mula disiarkan sejak 10 Julai lalu, drama ini boleh ditonton setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat