Isu penganjuran FFM31 cetus polemik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan terus menjadi polemik dalam kalangan penggiat industri kreatif.

Biarpun acara berprestij yang mengangkat karyawan filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu sudah dua tahun tertangguh, namun rata-ratanya melihat tiada kewajaran meneruskannya pada saat penggiat seni kreatif berdepan dengan tekanan hidup akibat impak pandemik COVID-19.

Sebelum ini, gerakan boikot bermula apabila FINAS memuat naik borang penyertaan FFM31 menerusi Facebook, dibalas dengan kata pagar #kempenboikotffm31 oleh beberapa individu sebagai tanda protes. Perdebatan hangat diperkatakan apabila beberapa karyawan filem bangkit meluahkan pandangan terhadap kewajaran penganjuran FFM31.

Tidak ketinggalan, beberapa persatuan turut meluahkan pandangan yang sama.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha minta FINAS mempertimbangkan keputusan penganjuran FFM31.

“Kami berterima kasih kepada FINAS sentiasa prihatin dan banyak membantu pembangunan industri perfileman.

“Jawatankuasa PFM mendapati penganjuran FFM31 tidak sesuai diteruskan. Ini disebabkan sambutan hambar diterima berikutan industri perfileman berdepan situasi getir sejak setahun lalu.

“PFM harap FFM31 dapat ditangguhkan kepada masa dan keadaan lebih sesuai, tahun hadapan,” katanya.

Menerusi kenyataan media, Pansha berkata, agak janggal jika acara berprestij itu diteruskan kerana FINAS akan dilihat tidak sensitif dengan situasi semasa.

“Bayangkan, bagaimana mahu meraikan segelintir penggiat seni yang berjaya dalam majoritinya menghadapi keperitan hidup.

“PFM menyarankan, FINAS menggunakan bajet penganjuran FFM31 membantu mereka yang terkesan.

“Kami faham FINAS bukan agensi kebajikan dan tertakluk kepada Akta 244. Namun, dalam usaha kerajaan memerangi pandemik, wajar peruntukan FFM31 dimanfaatkan dengan menambah program membantu penggiat seni secara keseluruhan.

“Keutamaan meningkatkan semula ekonomi penggiat seni tanpa mengira bangsa, agama dan kefahaman politik agar boleh bekerja semula, tidak hanya bergantung kepada subsidi kerajaan,” katanya.

 

Presiden PFM, Pansha mendapati penganjuran FFM31 tidak sesuai diteruskan disebabkan sambutan hambar diterima berikutan industri perfileman berdepan situasi getir sejak setahun lalu.
Presiden PFM, Pansha mendapati penganjuran FFM31 tidak sesuai diteruskan disebabkan sambutan hambar diterima berikutan industri perfileman berdepan situasi getir sejak setahun lalu.

 

Sementara itu, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyarankan FINAS merangka Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi memastikan penggiat seni bekerja semula demi merancakkan industri kreatif negara.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, FFM31 tidak mungkin berjalan dengan jayanya dalam keadaan sekarang.

“Ini berikutan situasi meruncing isu penularan COVID-19, selain kesengsaraan penggiat seni yang kehilangan punca pendapatan selepas fasa satu PPN dilaksanakan, sekali gus menghentikan kegiatan ekonomi.

“Meskipun dijalankan secara hibrid atau virtual, tetapi ia tetap memerlukan kos pelbagai aspek penganjuran. Justeru, FDAM berpandangan, masa ini tidak sesuai untuk penganjuran FFM31,” katanya kepada BH Online.

Ahmad Ibrahim berharap, FINAS dapat mengemukakan kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) agar mempertimbangkan syarikat produksi dibenarkan beroperasi pada fasa ketiga pada September atau Oktober depan.

“Ia bagi membantu kehidupan lebih 10,000 penggiat seni yang majoritinya adalah karyawan bebas. Mereka bukan sahaja tiada pendapatan, malah tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“FDAM berharap, FINAS dapat mengemukakan cadangan kepada MKN dan KKM agar melonggarkan syarat prosedur operasi standard (SOP) dengan memberi kebenaran merentas negeri.

“Sekurang-kurangnya penggiat seni bernyawa semula apabila kebenaran penggambaran di kawasan zon hijau penghujung bulan ini,” katanya.

 

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim menyarankan FINAS merangka Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi memastikan penggiat seni bekerja semula demi merancakkan industri kreatif negara.
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim menyarankan FINAS merangka Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi memastikan penggiat seni bekerja semula demi merancakkan industri kreatif negara.

 

Selain itu, Ahmad Ibrahim mohon KKM mempercepatkan program imunisasi berkelompok untuk kira-kira 9,000 warga industri kreatif yang belum menerima jadual vaksinasi.

“FDAM mencadangkan program imunisasi untuk pekerja industri dibuat selama tiga bulan bermula bulan ini.

“Banyak syarikat produksi terpaksa gulung tikar akibat tidak dapat menampung kos operasi berikutan kehilangan kontrak penerbitan dan menanggung hutang pembiayaan dana,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Ibrahim tidak menafikan kepentingan FFM31 sebagai satu usaha merancakkan industri perfileman.

“Hidup penggiat seni ‘ada kerja ada gaji’ akan terus tertekan. Kami ibarat sekumpulan tentera tercedera, tanpa makanan atau sebutir peluru, tetapi diarah ke medan perang.

“Seharusnya dana yang ada dimanfaatkan bagi membantu mengisi perut kosong penggiat seni,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi melihat gesaan penggiat seni termasuk persatuan mahu FFM31 ditunda membuka pelbagai perspektif.

“Apabila persatuan dan penggiat seni minta FFM31 ditunda, kita harus menyokongnya. Ada benarnya pendapat yang disuarakan ramai.

“Namun, daripada sudut berbeza, penganjuran FFM31 akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penggiat seni.

“Apatah lagi, FINAS sendiri lebih kepada skop pembangunan seni. Jadi, jika bercakap soal pembangunan, FFM31 seharusnya diteruskan,” katanya.

 

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi melihat gesaan penggiat seni termasuk persatuan mahu FFM31 ditunda membuka pelbagai perspektif.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi melihat gesaan penggiat seni termasuk persatuan mahu FFM31 ditunda membuka pelbagai perspektif.

 

Zed berkata, ramai tahu FFM31 berkemungkinan besar dianjurkan secara hibrid dan bukannya fizikal.

“Cuma, keputusan penganjuran perlu juga difikirkan semula dalam situasi norma baharu. Andai diteruskan, kita nak tahu hibrid bagaimana yang ingin dilaksanakan.

“Ia akan jadi sejarah dan kali pertama penganjuran FFM31 secara hibrid. Kita harus melihat sudut pandangan berbeza.

“Namun, cadangan penangguhan FFM31 perlu diteliti daripada sudut pentadbiran FINAS. Perlu diteruskan atau sebaliknya, ia bergantung kepada perbadanan berkenaan,” katanya.

Terdahulu FINAS umum FFM31 menyediakan hadiah istimewa berupa dana bagi menerbitkan filem menggabungkan penerima trofi Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

Melalui FFM31, tahap pencapaian industri perfileman dinilai dan beri petunjuk kejayaan perancangan dalam misi membawa karya Malaysia ke Anugerah Akademi melalui projek ‘Road to Ocars’.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat