Keputusan Teruskan Projek Kapal Tempur LCS Perlu Perincian Lebih Lanjut – Hishammuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) diteruskan atau sebaliknya memerlukan perincian lanjut, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Namun, beliau berpendapat projek itu perlu diteruskan bagi memastikan pembinaan kapal-kapal LCS itu berjalan lancar, walaupun ia sebenarnya bukan suatu perkara mudah.

“Saya hendak maklumkan bahawa keputusan meneruskan projek LCS ini mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pembangkang dan keputusan untuk meneruskannya (LCS) ini sewaktu bekas Menteri Pertahanan sebelum saya telah membawa perkara ini.

“Terus-terang saya katakan bahawa persetujuan kabinet untuk meneruskan LCS memerlukan perincian daripada kita dan perkara ini telah dibangkitkan kepada kabinet sebanyak tiga kali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan projek LCS selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia 2022 di Kementerian Pertahanan, di sini pada Khamis.

Hishammuddin berkata, kabinet telah mewujudkan sebuah Jawatankuasa Menteri-menteri Kabinet yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi memuktamadkan projek pembinaan LCS itu.

“Beliau (Mustapa) sendiri akan membuat pembentangan kepada kabinet dengan perancangan dan jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak tiga kali dan mereka (ahli jawatankuasa) juga ke Lumut, Perak untuk melihat sendiri aset sedia ada bagi meneruskan projek LCS.

“Saya harap jawatankuasa menteri ini telah bermesyuarat serta selesai dan kita harapkan ia dapat dibentangkan kepada kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenai hala tuju LCS,” katanya.

Beliau berkata sama ada projek itu diteruskan atau tidak, majoriti sudah membuat keputusan ia perlu diteruskan tetapi cara dan kaedahnya mesti mendapat persetujuan jemaah menteri.

Pada awal Januari lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam kapal LCS.

Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Sementara itu, Hishammuddin memaklumkan empat Kapal Misi Pesisir (LMS) untuk pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diterima dan selesai ditauliahkan.

“MinDef (Kementerian Pertahanan) telah memulakan perancangan serius untuk melaksanakan perolehan LMS kelompok kedua dan ia akan bermula dengan tiga buah LMS bakal dilengkapi sistem persenjataan lebih canggih.

“Selain itu, kesemua enam helikopter MD-530G untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat telah selamat tiba di tanah air pada 21 Feb lepas dan berada dalam proses ujian penerimaan Akhir bagi keenam-enam helikopter berkenaan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat