Covid-19 Berkali Ganda Lebih Bahaya Berbanding H1N1, Kata WHO

- Advertisement -

GENEVA – Novel koronavirus 10 kali lebih berbahaya berbanding wabak selsema babi, yang mengakibatkan pandemik global pada 2009, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin, menegaskan vaksin diperlukan untuk menghentikan penularan sepenuhnya.

Ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat maya dari Geneva berkata organisasi itu terus mengkaji virus baru yang melanda dunia itu, yang kini mengorbankan hampir 115,000 orang dan menjangkiti lebih 1.8 juta.

“Kami tahu Covid-19 tersebar dengan pantas. dan kami tahu ia berbahaya, 10 kali lebih berbahaya berbanding pandemik selsema pada 2009,” katanya.

WHO berkata 18,500 meninggal dunia akibat “selsema babi”, atau H1N1 yang pertama kali ditemui di Mexico dan di Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2009, tetapi jurnal perubatan antarabangsa, Lancet menganggarkan jumlah itu antara 151,700 dan 575,400.

Kajian Lancet termasuk anggaran kematian di Afrika dan Asia Tenggara yang tidak diambil kira oleh WHO.

Penularan wabak itu, yang diisytiharkan sebagai pandemik pada Jun 2009 dan dianggap berakhir pada Ogos 2010, ternyata tidak berbahaya seperti mana ia ditakuti ketika kali pertama muncul.

Vaksin segera dikeluarkan, tetapi Barat, terutama Eropah, dan WHO dikritik kerana memberi reaksi keterlaluan ketika epidemik influenza mengorbankan antara 250,000 hingga 500,000 orang setiap tahun, menurut WHO.

Tedros semalam turut bersimpati dengan beberapa negara dunia yang menyaksikan peningkatan seganda kes dalam tempoh 3 hingga 4 hari, tetapi menegaskan jika negara terbabit komited “mengesan kes awal, membuat ujian, mengasingkan (dan) mengambil berat setiap kes dan mengesan setiap kontak” mereka dapat mengekang virus berkenaan.

Lebih daripada separuh populasi dunia ketika ini duduk di rumah sebagai sebahagian usaha memutuskan rantaian penularan virus terbabit, tetapi Tedron memberi amaran “kesalinghubungan global kita bermakna wabak ini berisiko muncul kembali dan penularan akan berterusan”.

Beliau turut berkata, Covid-19 tersebar dengan amat cepat, tetapi “penurunannya lebih perlahan.”

“Dalam erti kata lain, penurunan lebih perlahan berbanding peningkatan,” katanya, menekankan “langkah kawalan mesti ditarik balik secara beransur-ansur, dan dengan kawalan. Ia tidak boleh berlaku sekaligus.”

“Langkah pengawalan hanya boleh ditarik semula jika langkah kesihatan awam berada pada landasan yang betul, termasuk mengesan kontak dalam kapasiti yang besar,” katanya.

Dalam pelbagai usaha yang dilakukan, WHO mengakui “pembangunan dan penyampaian vaksin yang selamat dan efektif diperlukan untuk menghentikan penularan sepenuhnya”.

Vaksin Covid-19 dijangka dihasilkan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat