KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akui sulit untuk hadam kenyataan mengarut pembangkang yang mengaitkan isu titah addendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak dengan kegusaran pelabur.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mempersoalkan rasional dakwaan pembangkang kononnya konflik titah addendum merencatkan pelaburan.
“Sulit untuk saya fahami kenyataan mengarut pembangkang yang mengaitkan isu addendum dengan kegusaran pelabur.
“Di mana logiknya isu sebegini dikatakan menyebabkan pelabur tidak yakin dengan dasar negara tatkala nilai pelaburan meningkat ketara, KDNK menggalakkan dan satu persatu syarikat gergasi dunia mengumumkan komitmen melabur di Malaysia?
“Daripada mana logiknya keyakinan pelabur terhadap pasaran Bursa Malaysia terkesan sedangkan penjualan pegangan saham oleh pelabur asing hanya 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan saham sebanyak RM2 trilion?
“Hairan saya,” bidas Perdana Menteri.
Beliau semalam di Dewan Rakyat juga telah menyanggah dakwaan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa isu terkait titah addendum menjadi punca pelaburan jatuh.
Anwar malah menegaskan beliau tidak pernah mengelak daripada menjawab isu titah addendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya berpegang kepada prinsip undang-undang kerana perkara itu masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa keadaan ekonomi negara berada dalam trend positif berdasarkan data pelaburan, pasaran saham dan bon, serta keuntungan syarikat-syarikat tempatan.
Namun katanya, pembangkang seolah-olah tidak menghiraukan prinsip subjudis dan cuba bertindak above the law.
Beliau berkata, meskipun pembangkang terus menekan untuk mendapatkan jawapan segera, beliau telah memberi jaminan di Parlimen bahawa segala penjelasan akan diberikan selepas kes selesai.