Pengisytiharan darurat diwarta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan, sudah diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara, hari ini.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari lalu itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Dokumen pewartaan itu bertajuk Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Bahawasanya, Beta berpuas hati bahawa satu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan adalah diancam berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19).

Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, Beta boleh mengeluarkan suatu proklamasi darurat.

Maka, oleh yang demikian, Beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan kurnia Allah, Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri dan wilayah-wilayah Malaysia, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada Beta sebagaimana yang tersebut di atas, mengisytiharkan bahawa satu darurat besar sedang berlaku dan bahawa proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh Persekutuan mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Dikeluarkan di Istana Negara Beta di Kuala Lumpur, Ibu Kota Persekutuan pada 11 Januari 2021”.

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Khas Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan bagi mengendali perjalanan darurat negara.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri pada sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai cadangan pelaksanaan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian yang mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

-Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat