KUALA LUMPUR- Kesan terhadap kedudukan kewangan PETRONAS susulan langkah Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) mengambil alih aktiviti jual beli dan perolehan gas dan minyak (O&G) negara di Sarawak, hanya akan diketahui selepas rundingan itu dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata rundingan antara PETROS dan PETRONAS masih dijalankan.
“Semua pihak terbabit berusaha memastikan keputusan yang dicapai memelihara kepentingan negara dan tidak menjejaskan kestabilan ekonomi negara,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Azalina menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui kesan terhadap kedudukan kewangan PETRONAS ekoran langkah PETROS mengambil alih aktiviti jual beli dan perolehan O&G negara di Sarawak.
Pada 1 November lalu, kerajaan Sarawak mengesahkan perbincangan antara PETRONAS dan PETROS mengenai pelaksanaan aturan agregator gas tunggal di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO) masih berjalan.
Sebelum ini, PETRONAS menyatakan perbincangan dengan PETROS mengenai cadangan pelaksanaan DGO masih diteruskan.