Keusahawanan perlu jadi kerjaya pilihan utama bidang ekonomi berimpak tinggi – PM

- Advertisement -

BERA- Kerajaan bermatlamat untuk memastikan semua kawasan luar bandar mencapai aspirasi seperti mana dirumuskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu wawasan “Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik” menjelang tahun 2030.

Perdana Menteri berkata, Mini Karnival Usahawan Desa (Mini KUD) di Bera yang berlangsung dua hari merupakan sesi kelima yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun ini selepas diadakan di empat buah lokasi iaitu di daerah Pontian, Johor, Lipis di Pahang, Limbang di Sarawak dan terakhir di Padang Terap, Kedah.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mini KUD Bera mensasarkan 10,000 pengunjung sepanjang program ini berlangsung dengan nilai jualan berjumlah RM100,000.

Ujarnya, tidak dapat dinafikan Malaysia telah mencapai kejayaan dalam konteks pembangunan infrastruktur di luar bandar yang kini mempunyai bekalan elektrik dan air serta mempunyai rangkaian jalan raya yang sempurna.

“Kita juga telah melahirkan anak-anak luar bandar yang berjaya dalam pelbagai bidang dengan membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun bagi membangunkan kawasan dan masyarakat luar bandar di seluruh negara.

“Selain pembangunan infrastruktur dan pendidikan, kerajaan juga memberikan tumpuan kepada satu lagi elemen penting iaitu keusahawanan sebagai pemacu pembangunan ekonomi termasuk dalam kalangan penduduk kampung.

“Saya sering membayangkan penduduk kampung kita menceburi pelbagai bidang ekonomi yang bukan hanya aktiviti ekonomi tradisional seperti bertani dan menoreh getah atau nelayan kecil bagi yang tinggal di pinggir pantai,” katanya ketika ucapan perasmian di Bera pada Ahad.

Perdana Menteri berkata, keusahawanan perlu menjadi kerjaya pilihan utama dalam bidang ekonomi berimpak tinggi yang akan menjadi sumber pendapatan berterusan (sustainable) dan seterusnya memberikan manfaat yang lebih meluas kepada penduduk luar bandar.

Jelasnya, bagi memastikan pembangunan luar bandar seiring dengan dasar yang ditetapkan, kerajaan memperuntukkan lebih RM10.93 bilion dalam Bajet 2023, iaitu 4 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan KPLB pada tahun sebelumnya.

“Ini bagi memastikan perancangan dan strategi bersepadu bagi pembangunan luar bandar diteruskan dan dapat memberikan manfaat kepada lebih 8.1 juta penduduk luar bandar.

“Antara perkara yang telah dibentang dalam Bajet 2023 bagi pembangunan luar bandar iaitu, RM2.55 bilion bagi menambah baik kemudahan infrastruktur luar bandar, peruntukan bagi bina baharu dan baik pulih rumah akan ditingkatkan daripada RM361 juta kepada RM460 juta.

“Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan peruntukan sebanyak RM472 juta; projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif berjumlah RM381 juta
dan RM123 juta bagi Projek Lampu Jalan Kampung melalui pemasangan baru 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan serta ini sudah pasti akan dapat dicapai jika kerajaan yang stabil dapat dibentuk melalui pilihan Keluarga Malaysia di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga penyandang Parlimen Bera menambah kerajaan sentiasa prihatin dalam membantu rakyat khasnya usahawan luar bandar untuk mengukuhkan perniagaan yang telah terjejas akibat pendemik Covid-19 yang melanda negara bermula pada tahun 2020.

“Karnival Usahawan Desa (KUD) merupakan antara program pemasaran KPLB bagi memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar dengan mengadakan platform mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta.

“Pada masa sama, usahawan luar bandar pula akan dapat memanfaatkan kemudahan serta insentif yang disediakan oleh Kerajaan untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu yang lebih luas,” ujar beliau.

Justeru itu, Perdana Menteri berkata, penganjuran Mini KUD Bera ini diharap dapat mencapai objektif utamanya menjadi platform kepada usahawan luar bandar untuk memasarkan produk dan turut mewujudkan peluang akses pasaran kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

“Bagi penganjuran Mini KUD Bera, lebih 60 usahawan termasuk penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman daripada pelbagai agensi di bawah KPLB dan usahawan tempatan menyertainya.

” Antara usahawan luar bandar yang terlibat terdiri daripada perniagaan makanan dan minuman, diikuti bidang fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan serta kraftangan dan produk pertanian.

“Selain jualan usahawan, KPLB juga turut menyediakan pameran dan khidmat nasihat berkaitan keusahawanan termasuk penawaran kemudahangeranSokonganPengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) dan kemudahan pinjaman patuh Syariah di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED); penerangan melalui pameran Program DesaMall@KPLB; penerangan dan pendaftaran pendidikan serta TVET dan penerangan dan pendaftaran kemudahan-kemudahan pembiayaan perniagaan, latihan keusahawanan dan penyewaan premis serta pelbagai program keusahawanan yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah KPLB,” kata Perdana Menteri lagi.

Beliau malah percaya usahawan luar bandar sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang.

“Saya berdoa apa yang diusahakan pada hari ini akan membuahkan hasil dengan usahawan yang kita bantu akan terus mengorak langkah menjadi usahawan yang lebih berjaya bukan sahaja di peringkat lokal, tetapi juga dapat berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Namun begitu, saya juga ingatkan kepada usahawan yang ada, kejayaan yang datang hari ini, datang bersama komitmen yang besar dan berharap semoga para usahawan terus cekal dan memanfaatkan bantuan yang diberikan.

“Akhir kata, saya ingin sekali lagi merakamkan penghargaan kepada KPLB dan agensi-agensi di bawahnya dan tidak dilupakan usahawan- usahawan luar bandar yang menjayakan sesi mini KUD di Bera ini.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada penduduk Bera dan sekitar yang berkunjung, seterusnya menyokong mereka dengan membeli dan menggunakan produk dan perkhidmatan keluaran usahawan luar bandar, yang sememangnya mempunyai kualiti setanding barangan berjenama di pasaran,” ucap beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat