KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua wakil rakyat supaya tidak sesekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
Baginda menyeru kepada semua ahli Parlimen untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara tanah tumpahnya darah kita.
“Setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19. Negara dan rakyat Beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.
“Terlalu ramai rakyat Beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat Beta yang telah kehilangan sumber rezeki.
“Ratusan pucuk surat telah Beta terima dari rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
“Nasihat Beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu,” titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Dewan Rakyat Penggal Keempat Parlimen, pada Isnin.
Justeru, Al-Sultan Abdullah menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Baginda dan negara tanah tumpahnya darah kita.
“Semoga Malaysia serta rakyat yang Beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya,” titah Baginda lagi.
Sebelum mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda menyampaikan tiga rangkap pantun
sebagai pesanan tulus ikhlas Baginda buat Ahli-Ahli Parlimen.
Dari Segamat ke Kota Tinggi;
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti; Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.
Kalau memandang langit yang tinggi; Jangan lupa rumput di bawah;
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati; Martabatkan negara kembali bermaruah.
Rempah halia digaul diuli;
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi; Pertahankan negara dan ibu pertiwi.