Jauh Beza Transformasi Parlimen dan Jajaran Baharu

- Advertisement -

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh agenda Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang bertujuan serampang dua mata.

Pertamanya sebagai memenuhi tuntutan pemikiran politik semasa terutama genrasi muda yang mahu melihat proses demokrasi negara diberi nafas baharu dan mengurangkan politik kebencian kerana berlainan ideologi dan parti.

Kedua, ia menyahut seruan Seri Paduka Baginda agar diredakan suhu politik negara dan diadakan musyawarah yang lebih baik antara blok kerajaan dan pembangkang. Tuanku jelas tidak mahu politik negara terus bergolak dan menjejaskan pentadbiran negara.

Tujuh perkara yang diusulkan oleh blok kerajaan kepada Pakatan Harapan ialah pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti; pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat; mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun; penyertaan ahli Parlimen pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan; dan Ketua Pembangkang diberikan saraan dan kemudahan setara seorang menteri.

Blok kerajaan dan Pakatan Harapan dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan petang ini. Walaupun ia tidak mengikat Pakatan Harapan untuk menyokong kerajaan, namun ia boleh mengurangkan usaha menjatuhkan kerajaan tanpa sebab yang munasabah.

Transformasi vs Jajaran Baharu

Bagaimanapun usaha Ismail Sabri ini tidak begitu disukai oleh fraksi tertentu dalam Umno. Kumpulan ini menonjolkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (dilantik) Datuk Puad Zarkashi untuk mewujudkan keraguan dan melancarkan ‘serangan politik’ kepada Ismail Sabri dan ahli Parlimen Umno.

Puad Zarkashi menyindir ‘terpadam sudah momokan menolak Anwar Ibrahim dan DAP oleh sesetengah pemimpin UMNO’ ketika mengulas tawaran ini.

Adalah menyesatkan (mislead) untuk Puad cuba menggaulkan isu mengadakan kerjasama politik dengan Anwar dan DAP selepas pembentukan kerajaan, dengan keputusan  oleh ahli-ahli Parlimen Umno menolak jajaran baharu yang mahu melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan bersama DAP.

MoU yang bakal dibuat antara kerajaan dan Pakatan Harapan jauh berbeza dengan usaha beberapa fraksi dalam UMNO sejak September 2020 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan menaikkan Anwar Ibrahim.

MoU ini hanya menawarkan beberapa pembaharuan politik tanpa campur tangan pembangkang dalam pentadbiran dan penentuan polisi kerajaan. Ini berbeza dengan jajaran baharu yang mahu mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Jajaran baharu tajaan Presiden Umno untuk menaikkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bukan omongan kosong. Ini berdasarkan surat kepada Seri Paduka Baginda pada tahun lepas yang antara lain menyatakan sokongan dan taat setia Umno kepada pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Presiden Umno bukan sahaja tidak pernah menafikan tandatangan beliau atas surat tersebut, malah dikatakan mengakui kebenarannya dalam perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen Umno beberapa bulan lalu.

Sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini juga terdapat beberapa akuan berkanun yang ditandatangani oleh beberapa Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dilakukan atas atas restu dan pengetahuan pemimpin tertentu dalam UMNO.

Terakhir tentulah rakaman perbualan telefon Presiden Umno dengan Anwar selepas PAU 2020 juga satu lagi bukti jelas kompolot mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Kita boleh tidak bersetuju dengan tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang ditawarkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob namun menyamakan tawaran ini dengan menawarkan kerusi Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim adalah dua perkara yang jauh berbeza.

Pemimpin dan penyokong Umno yang tidak boleh membezakan antara mengadakan kerjasama politik dalam keadaan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri dengan mengadakan kerjasama mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, mempunyai masalah krisis pemikiran dan moral yang sangat kritikal.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat