ABPBH 34 suntik semangat penggiat industri animasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kutipan pecah panggung filem animasi tempatan pada 2019 membuktikan penerimaan penonton terhadap karya animasi ciptaan anak Malaysia yang dilihat setaraf produk antarabangsa.

Filem animasi terbitan bersama Primeworks Studios dan WAU Animation, Ejen Ali The Movie membuka tirai 2020, iaitu sebelum negara dilanda wabak COVID-19 hingga memaksa pawagam ditutup, dengan penuh bergaya.

Filem Ejen Ali The Movie meraih kutipan RM30 juta dalam tempoh enam minggu tayangan sejak menemui penonton pada 28 November 2019, lantas menduduki carta teratas filem pecah panggung tempatan bagi tahun itu. Foto NSTP
Filem Ejen Ali The Movie meraih kutipan RM30 juta dalam tempoh enam minggu tayangan sejak menemui penonton pada 28 November 2019, lantas menduduki carta teratas filem pecah panggung tempatan bagi tahun itu. Foto NSTP

Filem ini meraih kutipan RM30 juta dalam tempoh enam minggu tayangan sejak menemui penonton pada 28 November 2019, lantas menduduki carta teratas filem pecah panggung tempatan bagi tahun itu.

Pada tahun sama, filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal mencatat kutipan RM25 juta dengan jumlah penonton mencecah dua juta.

Rekod kutipan pecah panggung diperkukuhkan dengan filem Boboiboy Movie 2 (BBBM2) mengutip RM27.7 juta di Malaysia, sepanjang tempoh 26 hari ditayangkan.

Melihat kebangkitan karya animasi tempatan, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang dilancarkan, Jumaat lalu, memperkenalkan kategori baharu, Watak Animasi Popular membariskan 13 karakter kartun yang dihasilkan melalui kepakaran anak Malaysia.

Andai selama ini, pentas ABPBH membawa penggiat seni baik individu mahupun berkumpulan bersaing dalam belasan kategori dipertandingkan, kali ini, acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini membawa watak kartun sebagai calon.

Antara watak animasi yang merintis jalan meraih pengiktirafan di platform ABPBH 34 adalah Upin & Ipin, Ejen Ali, Boboiboy, Didi & Friends dan Omar & Hana, yang masing-masing mempunyai pengaruh kuat dan cukup dikenali dalam kalangan peminat produk animasi tempatan terutama kanak-kanak.

Mendapatkan reaksi penggerak industri animasi tempatan terhadap pencalonan baharu dalam kategori itu, pengarah filem Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin melihat inisiatif ABPBH 34 tepat dalam memartabatkan karya animasi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya agak terharu melihat watak watak animasi diiktiraf sebagai bintang, selaras dengan barisan pelakon dan personaliti terkenal yang bertanding dalam ABPBH 34.

“Langkah memperkenalkan kategori Watak Animasi Popular boleh dianggap seperti mencapai penanda aras baharu untuk industri animasi dan hiburan.

 

Usamah yakin usaha penganjur ABPBH 34 memperkenalkan kategori Watak Animasi Popular menyemarakkan industri animasi tanah air pada era pandemik COVID-19. Foto NSTP
Usamah yakin usaha penganjur ABPBH 34 memperkenalkan kategori Watak Animasi Popular menyemarakkan industri animasi tanah air pada era pandemik COVID-19. Foto NSTP

 

“Semoga dengan kehadiran kami (watak animasi) dapat memeriahkan lagi acara ini, biarpun dianjurkan dengan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ketat,” katanya kepada BH Online.

Usamah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Wau Animation berkata, usaha penganjur ABPBH 34 memperkenalkan kategori itu menyemarakkan industri animasi tanah air pada era pandemik COVID-19.

“Saya pasti sedikit sebanyak pencalonan kategori animasi ini dapat membantu. Biarpun kami sedang mengusahakan (produk) yang terbaik, pandemik COVID-19 memberi cabaran hingga membuatkan industri animasi agak merudum.

“Pembabitan watak animasi dalam anugerah ini secara tidak langsung akan memberikan lebih peluang untuk kami berinteraksi dengan peminat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd, Nizam Razak berterima kasih atas inisiatif ABPBH 34 memperkenalkan kategori Watak Animasi Popular dan mencalonkan BoBoiBoy.

 

Nizam menjelaskan industri animasi berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan pengkarya perlu menerapkan norma baharu termasuk bekerja dari rumah. Foto NSTP
Nizam menjelaskan industri animasi berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan pengkarya perlu menerapkan norma baharu termasuk bekerja dari rumah. Foto NSTP

 

“Saya teruja dan berterima kasih kepada ABPPH 34. Animasi tempatan semakin mendapat perhatian masyarakat. Sudah tiba masanya ia diberi pengiktirafan seperti ini,” katanya.

Nizam menambah, industri animasi berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan pengkarya perlu menerapkan norma baharu termasuk bekerja dari rumah.

“Saya percaya dengan kategori baharu ini, peminat ternanti-nanti keluaran watak animasi terbaharu. Saya yakin tenaga kerja menghasilkan animasi tempatan akan lebih bersemangat dengan adanya anugerah diperkenalkan ABPBH 34,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Blindspot Studios yang juga pengarah, Alif & Sofia, Lukman Othman menyifatkan ABPBH antara anugerah ditunggu-tunggu.

“Apabila anugerah seperti ABPBH diiktiraf terutama dalam kalangan peminat, secara tidak langsung, ia menjadi cabang hiburan penting.

“Apatah lagi, anugerah seperti ini dilihat mampu menyatukan seisi keluarga. Jadi, apabila kategori Watak Animasi Popular diperkenalkan, jelas kita tahu, karakter kartun ini diminati kanak kanak hingga dewasa.

“Apabila penganjur mengangkat karakter animasi sebagai ‘individu’, ia sudah dianggap mencapai tahap baharu. Malah, karakter animasi tidak dinafikan mampu menjentik emosi manusia,” katanya.

Lukman berkata, pandemik COVID-19 menyebabkan masyarakat terpaksa berkurung di rumah. Lantas, elemen hiburan termasuk karakter animasi menjadi terapi.

“Andai orang dewasa, mereka boleh tonton drama lakonan artis. Kanak kanak pula memilih cerita kartun.

“Jadi, saya lihat, ABPBH sedikit sebanyak mampu menyatukan keluarga ini dengan hiburan ringan. Apabila ada kategori Watak Animasi Popular diperkenalkan, ia menjadi nilai tambah.

“Cuma dalam situasi sekarang, hendak mengadakan aktiviti fizikal terbatas disebabkan pandemik. Hendak jual barangan eksklusif kepada golongan cilik secara dekat pun sukar,” katanya.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi yang menghasilkan kandungan animasi Upin & Ipin menyambut baik kelainan ditampilkan ABPBH 34.

“Usaha yang baik kerana melihat dan mengangkat bidang animasi menerusi karakternya. Ini suatu penghargaan yang menjadi penyuntik semangat penggiat industri animasi,” katanya.

Burhanuddin berharap kategori baharu itu menjadi pembakar semangat kepada industri animasi yang terkesan dengan pandemik.

“Itu yang saya dan rakan penggiat animasi harapkan. Setidak-tidaknya, anugerah dan kategori berkenaan dapat menyemarakkan lagi industri animasi yang semakin tertekan pada era pandemik ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS), Amir Hamzah cukup terbuka dan menyokong usaha ABPBH 34 memperkenalkan kategori Watak Animasi Popular.

“Saya lihat ini suatu peningkatan dan transformasi dalam pencalonan ABPBH. Watak animasi mempunyai peranan sangat penting dalam media. Ada kalanya, watak animasi menjadi pujaan dan malar segar.

“Animasi adalah aset hidup yang kekal diingati walau berlalu bersilih zaman. Di sebalik watak ini, ada jurureka, juru animasinya dan pelontar suara yang menghidupkan watak dengan jayanya.

“Kategori ini secara tidak langsung mengiktiraf usaha seluruh barisan produksi animasi. Ini juga menyuntik semangat mereka untuk terus berjuang dan memartabat industri animasi tempatan,” katanya.

Amir berharap penganjur boleh mewujudkan kategori lain dalam skop animasi pada masa hadapan.

“Mungkin penganjur boleh perkenalkan pelontar suara dan juru alih bahasa untuk pelbagai produk animasi tempatan atau luar negara.

“Mereka juga dianggap pemangkin populariti watak animasi,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat