Terowong SMART Diaktifkan Lewat Sejam Punca Banjir Kilat Di KL?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan meminta penjelasan pihak pengurusan Terowong SMART bagi mendapatkan gambaran tepat apa yang berlaku ketika banjir kilat melanda ibu kota baru-baru ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu taklimat akan diaturkan bagi mengetahui sama ada Terowong SMART yang bernilai RM1.8 bilion itu beroperasi atau tidak pada hari kejadian.

Malah jelas beliau terdapat dakwaan terowong itu lambat diaktif selama sejam yang menyebabkan limpahan air sungai.

“Soal banjir tidak boleh orang kata sekali berlaku sekali sibuk. Kita bila berlaku satu perkara, kena tengok secara komprehensif.

“Saya baru minta untuk diaturkan taklimat operasi Terowong Smart. Saya hendak tahu betul-betul Terowong SMART berfungsi seperti mana dirancang dan sudah berbilion dibelanjakan.

“Laporan awal mengatakan tiada perkara yang abnormal. Malah ada air pun cepat surut dengan adanya Terowong Smart. Alhamdulillah.

“Tapi ada pula yang kata lambat sikit hendak buka mod 1, 2, 3 dan 4 dan ada sedikit kelewatan dalam satu jam katanya. Oleh itu, sungai jadi melimpah dan cepat surut kerana Terowong SMART. Wallahualam. Jadi saya perlu dapatkan penjelasan lebih lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara hari ini.

Beliau diminta mengulas kejadian terbaharu banjir kilat yang melanda ibu kota Kuala Lumpur, petang Khamis lalu.

Hujan lebat yang bermula pada kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, mengakibatkan lima kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat iaitu di Lebuh Ampang di pusat bandar, Jalan Raja Alang (Kampung Baru), Lorong Air Leleh (Setapak) dan Jalan Gurney serta Jalan San Ah Wing (Semarak).

Banjir kilat itu menyebabkan air naik setinggi satu hingga tiga meter di kawasan terjejas dan seramai 115 mangsa yang terperangkap akibat banjir di Jalan Gurney dan Kampung Periuk di Jalan Raja Alang, telah diselamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat