Tuntut royalti hingga 70 tahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia wajar mencontohi usaha 56 negara di seluruh dunia yang memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta karya muzik daripada 50 tahun kepada 70 tahun agar dapat memberi lebih manfaat kepada waris dan penggiat muzik.

Menyedari banyak katalog muzik dirakam bintang legenda seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan kumpulan Flybaits yang masih popular hingga hari ini, bakal menerima nasib sama seperti waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang tidak akan menerima royalti sebaik tempoh perlindungan 50 tahun selepas pemergian Seniman Agung itu pada 29 Mei 1973 berakhir tahun depan, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menggesa kerajaan meminda Akta Hak Cipta 1987.

Mengikut rekod RIM, antara lagu yang sudah tamat tempoh perlindungan hak cipta rakaman adalah karya yang diterbitkan pada era 1960-an seperti lagu P Ramlee iaitu Getaran Jiwa, Dendang Perantau, Madu Tiga, Jeritan Batinku, Bunyi Gitar serta lagu nyanyian Biduanita negara, Allahyarham Puan Sri Saloma.

 

Ini termasuk lagu klasik dirakam Allahyarham Datuk Sharifah Aini seperti Seri Dewi Malam, Kenang Daku Dalam Doamu dan Di Malam Persandingan serta lagu nyanyian Datuk Jeffrydin seperti Kenanganku dan Mas Mona.

Selain itu, lagu Hidup Bersama dan Oh Fatimah dendangan Allahyarham A Ramlie, Dara Pujaan (L Ramli), Tak Mengapa (Allahyarham Datuk A Rahman Hassan), Suzana (Allahyarham M Osman) dan Selamat Tinggal Pujaan (Allahyarham S Jibeng).

Lagu yang bakal tamat tempoh perlindungan hak cipta rakaman pula adalah seperti karya yang diterbitkan pada era 1970-an.

Antaranya, lagu dirakamkan kumpulan Black Dog Bone berjudul Khayalan dan Hatiku Luka Lagi.

Antara lagu era 1970-an dan 1980-an yang akan tamat tempoh perlindungan hak cipta rakaman adalah Suratan Atau Kebetulan dendangan Kenny, Remy & Martin; Suatu Waktu Dahulu (Dwen) dan Ku Cari Damai Di Hati (Gingerbread).

Ini termasuk Cinta Hampa (D’lloyd); Korban Percintaan (Julie Remie); Aku Dan Kenangan (The Brain Connection), Wajah Kesayangan Hamba (Datuk Hail Amir) dan Semakin Hari Semakin Sayang (Uji Rashid).

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata persatuan memohon Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melanjutkan tempoh perlindungan karya muzik atau seni selepas kematian pencipta termasuk tempoh perlindungan hak cipta bagi rakaman bunyi dan pelaku, selepas karya diterbitkan.

“Ketika proses pindaan Akta Hak Cipta 1987 dimulakan baru-baru ini, iaitu kira-kira tiga bulan lalu, kerajaan mendapat maklum balas daripada penggiat muzik mengenai pindaan tempoh perlindungan hak cipta.

“RIM sudah membuat permohonan kepada MyIPO agar tempoh perlindungan dilanjutkan iaitu sekurang-kurangnya kepada 70 tahun.

“Ada negara lain yang sudah memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta kepada 70 tahun, malah ada negara menetapkan 100 tahun.

“Sebagai contoh, Bahamas, negara itu memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta kepada 100 tahun. Di Colombia pula, perkara sama ditetapkan untuk tempoh 80 tahun.

“Mengikut rekod RIM, sekurang-kurangnya 56 negara sudah memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta kepada 70 tahun.

“Sehubungan itu, RIM berharap kerajaan dapat melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta itu kepada standard antarabangsa baharu yang dilaksanakan sekarang iaitu sekurang-kurangnya bagi tempoh 70 tahun (selepas kematian pencipta),” katanya kepada BH Online.

 

Rosmin berharap pindaan Akta Hak Cipta 1987 dibuat segera agar dapat melanjutkan tempoh perlindungan dan waris penyanyi boleh terus menerima imbuhan royalti.

 

Baru-baru ini, anak P Ramlee, Sazali, 63, dilaporkan buntu apabila kontrak royalti lagu karya bapanya yang diperoleh daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP), bakal berakhir tahun depan.

Ini berikutan Akta Hak Cipta 1987 hanya memberi tempoh perlindungan selama 50 tahun kepada sesebuah karya selepas kematian penciptanya. Ini bermakna tiada lagi imbuhan royalti diberi kepada waris selepas kontrak tamat.

Dengan ketetapan itu, semua karya P Ramlee akan menjadi harta awam atau ‘public domain’ atau harta awam, mulai tahun depan. Harta awam merujuk kepada maksud sesiapa sahaja bebas mengguna karya seni tanpa izin.

Mengikut Akta Hak Cipta 1987, tempoh perlindungan hak cipta mengenai mana-mana karya sastera, muzik atau seni wujud semasa hayat pencipta dan hendaklah terus wujud sehingga habis tempoh 50 tahun selepas kematiannya.

Tempoh perlindungan hak cipta bagi filem, rakaman bunyi dan pelaku pula hendaklah wujud selama 50 tahun daripada karya itu diterbitkan dengan dibuat penetapan untuk karya filem dan rakaman bunyi.

Bagi pelaku, hak cipta itu hendaklah wujud daripada persembahan dilakukan atau penetapan dalam rakaman bunyi.

Proses pungutan dan agihan royalti pula dibuat antara lain berdasarkan data penggunaan yang diperoleh daripada pelbagai pihak.

Misalnya, stesen penyiaran, persembahan konsert, hotel, pusat karaoke dan lain-lain. Pengagihan pula dibuat mengikut kekerapan penggunaan sesebuah karya terbabit.

Rosmin berkata, pihaknya sedar MyIPO perlu membuat kajian terperinci sebelum tindakan selanjutnya diambil dalam isu berkenaan.

“Permintaan RIM tidak dapat dipenuhi. Mungkin ketika kami membuat permohonan, belum cukup kajian yang dibuat MyIPO.

“Jadi, sekarang ini, MyIPO sedang mengkajinya. Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada RIM mengenai lagu dan artis serta rakaman yang akan menjadi ‘public domain’,” katanya.

Rosmin berkata, RIM berharap pindaan Akta Hak Cipta 1987 dibuat secepat mungkin.

“Kami sangat berharap pindaan dibuat secepat mungkin. Kalau kita dapat melanjutkan tempoh perlindungan itu secepat mungkin, tahun depan anak P Ramlee boleh terus menerima imbuhan royalti,” katanya.

Tambah Rosmin, usaha melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta dapat menguntungkan semua penggiat muzik daripada pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik sehinggalah syarikat rakaman.

“Semua pemilik hak cipta akan terus mendapat manfaat, tidak kira pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik mahupun syarikat rakaman.

“Contohnya, apabila syarikat rakaman dapat royalti, mereka akan laburkan kepada rakaman baharu. Ini akan merancakkan lagi rakaman lagu baharu dan dapat membantu dari segi pertumbuhan serta pembangunan industri muzik tempatan,” katanya.

 

Banyak katalog muzik dirakam Sudirman dan Flybaits bakal menerima nasib sama seperti waris P Ramlee yang tidak akan menerima royalti sebaik tempoh perlindungan 50 tahun.

 

Rosmin berkata, usaha memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta itu dapat melindungi lagu popular dan malar segar yang dihasilkan artis tempatan.

Sehubungan itu, lebih lama perlindungan hak cipta itu diberi, lebih untung setiap pemuzik yang terbabit dalam penghasilan sesebuah karya itu.

“Kalau akta tidak dipinda, bermakna lagu-lagu era 1960-an dan 1970-an akan menjadi ‘public domain’ tidak lama lagi. Ini akan berlaku kepada lagu pop yeh yeh dendangan Jeffrydin, A Rahman Hassan dan sebagainya.

“Malah, lagu nyanyian Sudirman, Flybaits dan seangkatan dengan mereka bakal menjadi ‘public domain’ sedangkan lagu-lagu ini masih popular sampai sekarang dan masih didengari.

“Jika mahu diikutkan, lagu-lagu P Ramlee dan Sri Saloma sudah menjadi ‘public domain’. Ini seolah-olah memberi maksud sebahagian daripada khazanah negara sudah masuk ke ruang awam. Sesiapa sahaja di seluruh dunia sudah boleh menggunakan hak cipta atau rakaman P Ramlee tanpa izin.

“Sayanglah kalau jadi begitu. Lantas, kami sangat berharap agar kerajaan mendengar suara kami dan mengikut standard antarabangsa bagi tempoh perlindungan hak cipta baharu, iaitu sekurang-kurangnya 70 tahun,” katanya.

Antara tiga badan kutipan royalti di Malaysia adalah Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Performers Malaysia (RPM).

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat