FINAS tiada kuasa heret pelaku cetak rompak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak mempunyai kuasa perundangan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu melakukan kesalahan cetak rompak.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, peraturan FINAS hanya tertakluk kepada pemegang lesen pemameran sahaja.

Bagaimanapun, kata Md Nasir, Jawatankuasa Cetak Rompak serta Jawatankuasa Teknikal FINAS boleh menangani isu itu dengan memainkan peranan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapatkan borang khas bagi melaporkan salah laku berkenaan.

“FINAS tidak mempunyai kuasa perundangan, tetapi boleh membantu mendapatkan borang aduan salah laku secara ‘fast lane’ untuk mereka melakukan kegiatan memuat naik secara penuh sesebuah filem, drama ataupun apa-apa format tempatan tanpa kebenaran pemilik di mana-mana platform media sosial.

“Sekiranya disabit kesalahan, FINAS boleh melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti. Namun, pemilik filem ataupun drama perlu mengambil tindakan.

“FINAS menasihatkan mana-mana individu supaya mengelakkan daripada berkongsi apa-apa filem sebahagian atau secara keseluruhan kepada umum tanpa kebenaran pemilik harta intelek,” katanya.

Md Nasir berkata, perkara itu sudah banyak kali dimaklumkan menerusi media massa dan sosial sebagai peringatan kepada semua pihak, tetapi amaran masih diabaikan.

“Ada kala kesalahan yang dilakukan terlepas kerana tiada aduan. Sekiranya produser filem atau drama mengetahui perkara itu, tetapi tidak mahu mengambil tindakan undang-undang, pelaku boleh terlepas hukuman.

“Namun, sekiranya tidak bernasib baik, pelaku bakal berdepan risiko diheret ke muka pengadilan. Jika pelaku melakukan kesalahan secara berseorangan dan disabit kesalahan, pelaku akan menanggung kerugian dari segi kewangan dan imej baik juga bakal terjejas,” katanya.

Kegiatan itu, katanya dikategori sebagai cetak rompak digital iaitu kegiatan menyalin dan berkongsi kandungan seperti filem, kreatif, buku digital, permainan video atau lain-lain tanpa kebenaran pemilik yang memegang hak cipta.

Tambahnya, produser boleh mengenakan tindakan di bawah bidang kuasa (KPDNHEP) kesalahan berhubungan dengan Akta 322, Bahagian VIA Antirakaman Kamera.

Menurutnya, mengikut perkara 43A, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.

 

Syamsul kecewa FINAS tidak memperjuangkan

 

Selain itu, katanya, undang-undang lain yang berkaitan adalah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987; Seksyen 232 (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; dan Seksyen 239 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

Md Nasir mengulas kenyataan pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof yang kecewa apabila FINAS tidak memperjuangkan masalah cetak rompak dan hak cipta kerana masih terdapat filem bocor dalam media sosial.

“Apabila ada filem dan drama bocor di TikTok, apa yang saya perasan, FINAS seolah-olah berdiam diri dan tidak mempedulikan langsung. Sebaliknya membiarkan sahaja nasib pembikin filem.

“Tidak membela, tidak berjuang dan berusaha bersama-sama menangani isu hak cipta. Ini sangat penting untuk industri, sebab itulah saya bercakap soal ini untuk jangka masa panjang.

“Jika FINAS maklumkan kepada kerajaan apa perlu dilakukan, apakah undang-undang yang perlu digubal semula, ia boleh mengubah sejarah. Jika tidak, kita akan terus berada pada tahap ini sahaja,” katanya.

Terdahulu, Syamsul dalam kenyataan kepada Harian Metro turut mempersoalkan kenapa pucuk pimpinan FINAS terdahulu tidak memperjuangkan isu besar yang berlaku dalam industri seni.

“Saya memang kecewa. Sebelum nak cakap masalah cukai, masalah nombor satu dalam industri perfileman kita adalah masalah cetak rompak dan hak cipta.

“Seharusnya FINAS memberitahu kerajaan supaya menggubal undang-undang berkenaan hak cipta filem, TV dan macam-macam lagi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat