Waspada tangani kesan negatif pinda Perlembagaan UMNO, kata penganalisis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pimpinan UMNO diminta berwaspada menangani kemungkinan timbulnya beberapa kesan negatif daripada tindakan perwakilan meluluskan pindaan perlembagaan parti dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan Ahad ini.

Penganalisis politik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Mat Yazid, berkata, dijangkakan pindaan perlembagaan UMNO tidak menghadapi masalah untuk mendapat sokongan padu perwakilan.

“Para perwakilan yang akan hadir adalah pemimpin tertinggi di peringkat bahagian mahupun sayap-sayap yang bakal mendapat manfaat langsung daripada kelulusan pindaan perlembagaan yang akan memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin sedia ada.

“Persoalan yang timbul ialah dari segi etika apakah pindaan perlembagaan ini akan memberikan imej yang baik kepada UMNO yang sebelum ini bermati-matian mahu membuat transformasi bagi lebih meremajakan dan mendemokratikkan parti,” katanya.

Mohd Noor berkata, meminda Klausa 10.16 bagi memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sesuatu Pilihan Raya Umum dilangsungkan sudah pastilah tidak selari dengan hasrat untuk lebih meremajakan dan mendemokratikkan parti.

“Bila pemimpin sedia ada diberi ruang untuk berkuasa terlalu lama maka tentunya peluang untuk pemimpin muda naik ke atas akan lebih tertutup begitu juga dengan peluang untuk ahli-ahli biasa membuat perubahan dalam parti yang akan tersekat.

“UMNO juga berkemungkinan akan berhadapan dengan persepsi negatif bahawa ia adalah usaha terakhir pihak-pihak tertentu yang takut mengalami kekalahan jika pemilihan parti diadakan dalam tempoh sebenar untuk menyelamatkan kedudukan mereka,” jelas beliau.

Dalam pada itu, kata Mohd Noor lagi semua perkara ini perlu difikirkan dengan semasak-masaknya dan dijelaskan dengan seterang-terangnya oleh para pemimpin UMNO kepada ahli-ahli dan rakyat bagi mengelakkan imej Umno terjejas”, katanya memetik BH pada Jumaat.

Dalam pada itu, pemerhati politik dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff, pula melihat dari sudut implikasi pindaan perlembagaan ini kepada UMNO jika tidak diluluskan.

“Seingat saya, Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim, pernah dilaporkan berkata pada 10 Ogos 2021 bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ yang hanya boleh melaksanakan tugas urusan hal ehwal pentadbiran sahaja.

“Pasti akan ada pertanyaan apakah memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sesuatu Pilihan Raya Umum dilangsungkan boleh dilakukan melalui inisiatif MKT UMNO yang hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ sahaja.

“ROS pastilah akan terpaksa membuat pertimbangan yang adil mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan sama ada meminda salah satu perkara asas dalam perlembagaan boleh dilakukan tatkala MKT UMNO menjadi ‘caretaker’.

“Begitu juga dengan takrif ‘selepas masa enam bulan sesuatu Pilihan Raya Umum dilangsungkan’ yang tidak spesifik dan begitu subjektif yang boleh dipersoalkan apakah ia bertepatan dengan peruntukan lain dalam akta mahupun perlembagaan negara,” katanya.

“Jika ROS meluluskan pindaan ke atas perlembagaan Umno ini maka pastilah berduyun-duyun parti lain akan membuat pindaan sama ke atas perlembagaan parti mereka dan mahu tidak mahu ROS akan terpaksa meluluskannya juga atas prinsip keadilan dan kesaksamaan,” kata Syed Agil.

Bagaimana pula jika ROS tidak meluluskan pindaan ke atas perlembagaan UMNO ini, sudah bersediakah UMNO menghadapi implikasinya, tidakkah imejnya akan tercalar dan tidakkah akan ada kemelut dalaman pula nanti dalam parti,” tanya beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat