Ekonomi Negara Kembali Ke Landasan Lebih Kukuh Suku Pertama 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara kembali ke landasan yang lebih kukuh pada suku pertama tahun 2022 apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 5 peratus iaitu jauh lebih baik daripada jangkaan kebanyakan agensi penganalisis ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata antara petunjuk yang mencatat pencapaian yang lebih baik termasuklah Pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih yang lebih tinggi, iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda kepada RM24.4 bilion berbanding RM8.5 bilion pada suku pertama tahun 2021 dan kira-kira separuh daripada RM48.1 bilion bagi keseluruhan tahun 2021.

“Selain itu, pasaran buruh semakin pulih dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 4.1 peratus pada suku pertama 2022 dengan bilangan penganggur berkurangan kepada 671.2 ribu orang, iaitu paras yang paling rendah sejak suku kedua tahun 2020.

“Indeks Sentimen Pengguna yang diterbitkan oleh Malaysia Institute of Economic Research (MIER) melepasi nilai ambang optimistik mencatat 108.9 mata pada suku pertama tahun 2022 berbanding 97.2 mata pada suku keempat 2021; dan Indeks Keyakinan Ketua Eksekutif yang diterbitkan bersama oleh Vistage dan MIER mencatat 122.1 mata pada suku pertama tahun 2022, iaitu tertinggi sejak pandemik COVID-19,” jelas beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Mustapa menyatakan, pencapaian ekonomi dijangka terus kukuh pada suku kedua tahun 2022 didorong oleh langkah Kerajaan membuka semula sempadan negara dan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April 2022.

“Pembukaan semula sempadan dijangka dapat memulihkan sektor pelancongan yang terkesan oleh pandemik COVID-19 sejak Mac 2020, terutamanya kepada industri berkaitan termasuk penerbangan, penginapan dan hospitaliti.

“Kerajaan menjangkakan ketibaan seramai dua juta pelancong asing pada tahun ini dan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara.

“Walau bagaimanapun, sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, ekonomi negara berhadapan dengan risiko persekitaran luar yang mencabar,” katanya.

Menurut beliau, ini termasuklah jangkaan
pertumbuhan ekonomi dunia bagi tahun 2022 yang lebih rendah seperti yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, IMF (IMF: 3.6 peratus berbanding unjuran pada Januari 2022 sebanyak 4.4 peratus) dan Bank Dunia (3.2 peratus berbanding unjuran pada Januari 2022 sebanyak 4.1 peratus.

“Konflik Rusia-Ukraine yang telah berlarutan kira-kira 3 bulan menyebabkan berlakunya gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan harga minyak mentah dan komoditi yang akan memberi tekanan kepada kenaikan inflasi.

“Langkah yang diambil oleh China untuk mengetatkan sekatan pergerakan bagi membendung COVID-19 yang akan
mempengaruhi permintaan eksport negara memandangkan China merupakan rakan dagangan utama Malaysia,” katanya.

Bukan itu sahaja Mustapa juga memaklumkan, ketidaktentuan dasar monetari beberapa negara maju yang akan mempengaruhi aliran pasaran modal.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan akan terus memantapkan usaha- usaha seperti mempercepatkan pembaharuan dan transformasi struktur ekonomi; memantapkan kedudukan fiskal kerajaan; menggalakkan pelaburan swasta domestik dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan terutamanya dalam mengurangkan birokrasi dan memudahkan
urusan perniagaan.

“Selain itu, merancakkan aktiviti bagi meningkatkan jaminan bekalan
makanan negara; dan memastikan kestabilan harga dan membendung kenaikan harga
barangan,” ujar beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat