PM-9 hadir rakam keterangan di SPRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Ahli Parlimen Bera itu tiba di pintu masuk pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9.45 pagi menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam diiringi kenderaan peronda polis.

Sebelum itu beliau sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang berkumpul di pintu masuk SPRM sejak jam 8 pagi bagi menunggu ketibaannya, lapor BH pada Khamis.

Media semalam melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, berkata Ismail Sabri dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk memberi keterangan jam 10 pagi hari ini.

Katanya, sijil cuti sakit Ismail Sabri berakhir hari ini dan beliau diminta hadir untuk dirakam percakapan susulan siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya.

Ismail Sabri kini berdepan siasatan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM sebelum ini dilaporkan sudah merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

Seramai 23 lagi saksi baharu dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

Sebelum ini, Perdana Menteri ke-9 itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta selepas rebah di rumahnya pada 21 Februari lalu.

Dalam sidang media pada 3 Mac lalu, Azam berkata, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas bernilai RM7 juta hasil serbuan terhadap tiga premis termasuk safe house.

Susulan serbuan itu juga, SPRM menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta.

Azam berkata, Ismail Sabri sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat SPRM selama kira-kira lima jam pada 11 Februari lalu, sehari selepas membuat pengisytiharan harta seperti diarahkan SPRM.

Beberapa hari kemudian, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan Ismail Sabri ketika mengetuai pentadbiran negara ditahan SPRM untuk membantu siasatan yang membawa kepada rampasan wang tunai.

Fokus siasatan SPRM terhadap mereka tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika pentadbiran Ismail Sabri.

Pada masa sama, Azam menegaskan, siasatan terhadap Ismail Sabri dijalankan secara profesional dan dakwaan kononnya SPRM meletakkan wang sebanyak RM170 juta dalam ‘safe house’ itu adalah tidak munasabah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat