KUALA LUMPUR- Suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) adalah khusus untuk pembayaran hutang SEB dengan vendor iaitu melibatkan 2,000 vendor PKS minyak dan gas tempatan yang majoritinya syarikat Bumiputera.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan
menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.
Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan.
Ujar beliau, suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem O&G yang strategik untuk ekonomi negara.
“Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.
“Dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB. Pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB,” katanya semasa di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada Khamis.
Jelas beliau lagi, proses audit sememangnya telah dilaksanakan dan ketekunan wajar (due diligence) tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.
“Selanjutnya, dapatan due diligence ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak.
“Selain itu, Kerajaan Madani tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan. Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah,” katanya.