KUALA LUMPUR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) merakamkan ucapan terima kasih atas kenaikan RM1,500 harga lantai padi yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu namun masih juga berdukacita kerana ia tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos yang naik akibat penghapusan subsidi diesel dan kenaikan harga benih pada tahun 2024.
Pengerusi PeSAWAH Abdul Rashid Yob berkata, pengumuman ini tidak memenuhi aspirasi dan harapan mereka iaitu penetapan harga lantai padi pada kadar RM1,800.
“Kami ingin menegaskan bahawa tuntutan kami agar harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,800 adalah tuntutan yang munasabah dan berasas. Ia mengambil kira peningkatan kos sara hidup serta kos diesel dan benih yang meningkat, serta pelbagai cabaran lain yang dihadapi oleh pesawah dalam usaha memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara.
“Sehubungan itu, kami menyeru kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meneliti semula tuntutan kami dan mengambil langkah-langkah yang lebih konkrit bagi membantu pesawah.
“Kami mencadangkan; insentif harga padi sebanyak RM300 diberikan kepada pesawah, sebagai tambahan kepada harga lantai padi RM1500 yang diumumkan dan penurunan harga kawalan benih padi sah daripada RM58 ketika ini kepada RM35 iaitu harga asal benih padi sebelum ini memandangkan harga belian padi telah mengalami penurunan
berbanding ketika harga benih dinaikkan pada Mac 2024 lalu.
“Alasan harga benih dinaikan pada waktu tersebut adalah kerana harga belian semasa padi (bukan harga lantai) yang ditawarkan kilang adalah RM1,700,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Kata beliau lagi, PeSAWAH berharap, pihak kerajaan dapat mendengar dan memahami rintihan mereka itu.
“Kami adalah tulang belakang pengeluaran makanan negara. Jika kami tidak diberikan sokongan yang sewajarnya, bagaimana mungkin kami dapat terus menghasilkan padi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia?
“Para pemimpin dan rakyat Malaysia perlu faham, subsidi yang bernilai berbilion ringgit itu hanya 20 peratus sahaja yang masuk ke poket petani iaitu dalam bentuk insentif harga padi.
“Subsidi – subsidi lain yang disebut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan dalam sesi Parlimen tadi dapat kepada pihak vendor yang membekalkan benih, input pertanian dan servis jentera.
“Pokok kepada isu subsidi ini sebenarnya adalah harga beras yang sudah 17 tahun tak dinilai semula, kerana itulah subsidi bertambah setiap tahun untuk menyerap harga kawalan beras
tersebut.
“Subsidi padi bukan ihsan kerajaan tapi kewajipan kerajaan kerana kerajaan mengawal harga beras,” tegas Abdul Rashid.