Apa rancangan kerajaan hadapi peningkatan kos sara hidup, kurangkan miskin tegar – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membangkitkan persoalan terkait perancangan kerajaan untuk mendepani kos sara hidup yang terus meningkat ini susulan pengumuman kenaikan tarif elektrik.

Ahli Parlimen Bera itu malah menegaskan, lumrahnya kenaikan tarif elektrik ini akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan seterusnya dipindahkan kepada pengguna yang juga terdiri daripada 85 peratus isi rumah tersebut.

“Apakah perancangan Kerajaan untuk mendepani kos sara hidup yang akan terus meningkat? Ini kerana kerajaan telah menyatakan bahawa 85 peratus isi rumah tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik pada pertengahan tahun ini.

“Kerajaan juga menyatakan bahawa kenaikan ini hanya melibatkan kira-kira 15 peratus golongan maha kaya dan industri.

“Secara ringkasnya, sejak tahun 2015 sehingga 2022, kadar kenaikan tarif asas adalah kecil, lonjakan sekitar 3.7 peratus, iaitu 38.53 sen/kWh kepada 39.95 sen/kWh. Namun, tarif asas bagi tahun ini sehingga 2027 dinaikkan secara mendadak, kenaikan sebanyak 14.18 peratus, daripada 39.95 sen/kWh kepada 45.62 sen/kWh,” katanya di Dewan Rakyat ketika perbahasan menjunjung Titah Diraja pada Khamis.

Malah kata Ismail Sabri, seperti yang dinyatakan oleh S&P sebelum ini, bagaimana pengusaha akan dapat bertahan kerana mereka terpaksa menurunkan harga produk eksport untuk kekal bersaing dalam perang ekonomi dan dengan kenaikan tarif ini, mereka terpaksa menanggung beban yang lebih tinggi.

“Hal ini apabila diesel naik, pengusaha akan salur kepada pengguna. Kesan tidak langsung, kos barangan akan meningkat. Sekarang rakyat terbeban dengan kos sara hidup dan harga barang akan bertambah.

“Dasar-dasar seperti pengurangan subsidi dan gangguan perdagangan akibat ketegangan geopolitik cenderung memberi kesan yang lebih besar kepada golongan miskin, menjadikan usaha menamatkan kemiskinan sebagai satu isu yang kompleks.

“Sebagai contoh kenaikan tarif elektrik (walaupun untuk industri) dan pelaksanaan subsidi bersasar petrol pada pertengahan tahun ini akan memberikan kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah, menjadikan mereka terperangkap dalam kitaran kerentanan.

“Jadi saya ingin tahu dengan jelas apakah mekanisme kerajaan untuk menyasarkan subsidi petrol dan apakah ada subsidi-subsidi lain yang akan turut disasarkan? soal beliau.

Tambah beliau lagi, pada masa yang sama, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Dewan Rakyat pada 5 Februari lepas menyatakan kerajaan telah berjaya menoktahkan miskin tegar
dengan signifikan terutama di Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih sekiranya benar.

“Namun, adakah negeri-negeri ini masih kekal sifar miskin tegar meskipun dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi? Adakah ini bermakna penduduk di tiga negeri tersebut tidak ada yang menerima zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat?

“Berdasarkan statistik JKM, sehingga Ogos 2024, terdapat 543,086 penerima bantuan kebajikan di seluruh Malaysia dengan peruntukan yang dibelanjakan adalah RM1.73 bilion.

“Justeru, apakah kaedah yang digunakan untuk mengeluarkan golongan ini daripada kelompok miskin tegar? soal beliau lagi.

Kata Ismail Sabri lagi, kerajaan memerlukan pendekatan jangka panjang bagi menoktahkan miskin tegar agar mereka tidak kembali ke kumpulan itu.

“Jika tiada perancangan yang teliti, golongan miskin tegar dan miskin akan bertambah seterusnya akan membebankan kerajaan,” ujar beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat