Agong sokong penuh subsidi bersasar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sangat mengalu-alukan usaha untuk membendung isu ketirisan dana awam termasuk inisiatif untuk mempercepat dan memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamatnya dengan berkesan.

Malah bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, baginda menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras
rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar.

“Kerajaan Beta juga akan menumpukan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia menjadi destinasi pelaburan pilihan.

“Buktinya negara telah mencatat eksport bernilai RM1.552 trilion pada Disember 2022, iaitu peningkatan 25 peratus berbanding dengan
tempoh yang sama pada tahun 2021.

“Pencapaian ini telah melepasi sasaran jumlah eksport negara 3 tahun lebih awal daripada yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), iaitu sebanyak RM1.25 trilion menjelang tahun 2025,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15, pada Isnin.

Menurut Al- Sultan Abdullah, pelaksanaan dasar dan inisiatif nasional seperti Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional akan merancakkan lagi ekonomi negara dan mencapai sasaran yang diunjurkan.

“Di samping itu, program pembangunan sosio-ekonomi seperti agenda pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan penerimagunaan teknologi, keusahawanan serta pembangunan modal insan amat perlu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

“Pada masa yang sama,Kerajaan Beta hendaklah meneruskan usaha memerangi kemiskinan tegar melalui program pembasmian kemiskinan tegar bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada tahun 2025.

“Ini amatlah bertepatan dengan indikator matlamat pembangunan mampan ataupun Sustainable Development Goals (SDG) yang pertama iaitu kemiskinan sifar bagi memastikan tahap kemiskinan tegar bertambah baik,” titah baginda lagi.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong juga menyambut baik permuafakatan yang tercapai di kalangan pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia yang selari dengan cetusan hasrat murni Beta untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan utuh.

“Dengan demikian, Kerajaan Beta boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat Beta.

“Beta menghargai pengenalan inisiatif Negara Madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

“Besar harapan Beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara. Usaha dan hasrat Kerajaan untuk mengindahkan gerai-gerai di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur termasuk membina mercu-mercu tanda adalah bertepatan dengan aspek ihsan ataupun compassionate yang terkandung dalam dasar baharu kerajaan yakni Malaysia Madani,” titah baginda.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias cabaran ekonomi global termasuk ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik Covid-19, krisis geopolitik yang membawa kesan kepada rantaian bekalan dan tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup.

“Sepertimana kebanyakan negara lain, Malaysia turut tidak terlepas daripada menghadapi inflasi serta peningkatan kos sara hidup.

“Bagi mendepani permasalahan ini, Beta mengalu-alukan usaha untuk memperkasa fungsi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara. Beta yakin dengan semangat ihsan dan inisiatif Rahmah serta Daya mampu membawa perubahan dalam memberikan jaringan perlindungan sosial dan seterusnya membendung isu kos sara hidup.

“Justeru, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan diperkasa dengan menerap dan meningkatkan pendekatan secara menyeluruh kekuatan negara melibatkan pengeluar, peniaga, pengguna dan semua agensi kerajaan.

“Ekosistem perdagangan dalam negeri akan terus diperkasa dengan maksud melindungi kepentingan pengguna melalui konsep mengharmonikan ekonomi.

“Kerajaan sentiasa prihatin akan nasib rakyat ekoran kesan kenaikan kadar inflasi global, kelemahan mata wang Ringgit berbanding Dolar Amerika serta fasa pemulihan pasca pandemik Covid-19,” titah baginda.

Dalam hal ini, Agong berkata kerajaan akan terus mengambil langkah untuk meringankan beban penternak, petani dan pengeluar makanan
susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan agar kelangsungan pengeluaran makanan negara berada pada tahap yang optimum dan aspek keterjaminan makanan negara kekal pada tahap terbaik.

“Ekosistem industri juga hendaklah sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring perkembangan semasa.

“Justeru, Beta menyambut baik matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Bagi menyokong usaha tersebut, penyediaan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan digital perlu terus dipertingkatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional Tahun 2030,” titah baginda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat