Seri Paduka Baginda harap Anwar yang terakhir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri terakhir buat baginda sebelum berangkat pulang ke Pahang.

Dalam titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15, hari ini, Al- Sultan Abdullah mengimbau kronologi rencam politik yang dilalui baginda sepanjang bersemayam di atas takhta singgahsana Kerajaan Malaysia sejak 31 Januari 2019.

“Sehingga ke hari ini, Beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk Beta lupakan. Terpahat dalam sejarah negara bahawa Beta adalah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat Jemaah Menteri yang berlainan.

“Setelah selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung. Makanya, sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang Perdana Menteri terpaksa digalas oleh Beta.

“Betapa berat mata yang memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul.Dalam situasi Pasca PRU15 yang lalu, bila mana tiada parti politik atau gabungan dominan yang telah memperolehi majoriti mudah, Perlembagaan Persekutuan menuntut Beta untuk melantik
seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta telah memperolehi kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, Beta telah membuka seluas-luasnya ruang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara.

“Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, pada 24 November 2022, Beta telah berkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang ke-10.

“Beta berharap Perdana Menteri Yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat Beta, sebelum Beta berangkat pulang ke Negeri Pahang Darul Makmur,” titahnya pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Al- Sultan Abdullah juga menyebut “jika kerbau dipegang pada talinya, manusia pula dipegang pada janjinya.

“Pada 31 Januari 2019, Beta telah melafazkan sumpah untuk sesungguhnya dan sebenarnya, mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Hakikatnya, Beta hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti mana yang telah Beta lafaz dan ikrarkan. Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara apatah lagi untuk mengatur percaturan lanskap politik tanah air.

“Pada pengamatan Beta, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada PRU15 juga akan dapat dielakkan. Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir 4 tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat Beta dan negara yang kita cintai ini,” titah baginda.

Sebenarnya, menurut baginda lagi sejak negara mencapai kemerdekaan 66 tahun yang lalu, rakyat Malaysia telah menerima kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara.

Titah baginda pada usia 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.

“Jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, Beta merasa khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya.

“Beta turut bersyukur PRU15 telah berjaya diadakan dalam suasana yang aman dan penuh harmoni. Justeru, Beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota pasukan keselamatan, semua agensi Kerajaan serta rakyat Beta yang telah menunaikan kewajipan masing-masing.

“Marilah kita bersama berlapang dada dengan hati yang terbuka untuk menerima dan menghormati keputusan pilihan raya tersebut.

“Beta turut ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kerana telah terpilih sebagai wakil rakyat. Ianya adalah merupakan suatu amanah untuk berkhidmat, berbakti dan membela nasib rakyat Beta.

“Sekalung tahniah buat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Tambun yang telah dilantik oleh Beta sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-10 serta kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

“Syabas juga kepada Mamanda Perdana Menteri yang telah membuktikan keabsahan melalui Usul Undi Percaya di Dewan yang mulia ini pada 19 Disember 2022 yang lalu. Pada kesempatan ini juga, Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera di atas segala jasa dan sumbangan bakti beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke-9,” ucap baginda. -Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat