KUALA LUMPUR – Pas mengingatkan semua penjawat awam dari serendah-rendah pangkat sehingga setinggi-tingginya, supaya bertindak berlandaskan undang-undang dan peraturan yang betul.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, kesemua bukti harus disimpan agar tiada isu berbangkit di kemudian hari.
“Mana-mana penjawat awam dari serendah-rendah pangkat sehingga setinggi-tingginya, bertindaklah berlandaskan undang-undang dan peraturan yang betul.
“Sampai masanya, anda juga yang akan menjawab jika melaksanakan arahan Menteri atau Perdana Menteri tidak berlandaskan undang-undang.
” Simpanlah semua bukti yang perlu disimpan, agar tidak berbangkit di kemudian hari jika berlakunya pelanggaran undang-undang.
“Kes Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melontarkan ‘bola’ dalam isu titah addendum kepada Peguam Negara menjadi contoh yang terbaik,” tegur beliau sebagai peringatan dalam kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Baru-baru ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan surat berhubung titah adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan bawah tahanan rumah dihantar kepada Peguam Negara.
Beliau menjelaskan perkara tersebut bagi menyangkal dakwaan kerajaan sorok titah tersebut.
“Surat itu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan. Peguam negara kemudian, bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan).
“Itu keadaan dia. Bukan kita sorok,” kata Anwar.
Najib pada Isnin 6 Jan peroleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah addendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkannya menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.
Beberapa pihak menuduh kerajaan sorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah addendum itu.
Pada Jumaat, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang merupakan urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, mengesahkan tidak menerima sebarang titah addendum daripada Istana Negara untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Pada 2 Feb tahun lalu, lembaga tersebut mengumumkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya dikurangkan separuh dari 12 kepada enam tahun dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa juga menyangkal beliau menyembunyikan titah addendum tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tiada apa yang menghalang Najib membuat rayuan baharu kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang, yang mempengerusikan lembaga tersebut.
“Terus sahaja lah,” katanya, sambil membidas PAS dan Bersatu kerana ‘menumpang’ isu ini.
Pada 3 Jan lalu, Istana Negara mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Istana Negara berkata mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang.