Polis rakam keterangan Khairy dakwaan komplot sembunyi titah addendum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung dakwaan komplot sembunyikan titah addendum dengan mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua laporan diterima pihaknya Jumaat lalu.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka berhubung isu terbabit.

“Pengadu mendakwa ada membaca sebuah portal berita tempatan berhubung kenyataan Khairy yang mendakwa Azalina berkomplot menyorokkan titah addendum.

“Pengadu mendakwa kenyataan itu adalah tidak benar dan memburukkan imej menteri berkenaan (Azalina),” katanya pada Isnin.

Berikutan itu, kata Razarudin, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan merakam percakapan Khairy pada jam 3 petang (Isnin) di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998, lapor Sinar Harian.

Jumaat lalu, Setiausaha Politik kepada Azalina Othman, Datuk Suraya Yaacob membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul.

Menurut Suraya, kenyataan yang dibuat Khairy adalah tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai menteri Kabinet.

Terdahulu, Khairy menerusi siaran audio siar ‘Keluar Sekejap’ mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya Umno susulan isu titah addendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khairy dikatakan turut mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.

Sementara itu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil mendoakan kesejahteraan Khairy sekali gus menyambut beliau menyertai kelab ‘disiasat’.

“Takpa KJ. Naik turun mahkamah dan kena panggil polis dan lain-lain itu sudah jadi perkara biasa untuk kawan-kawan.

“Hari ini hari dia, esok lusa siapa yang tahu. Standby mungkin telefon kena rampas. Asal istiqamah dalam perjuangan. Allah akan bantu orang-orang yang sabar. Berani kerana benar. And welcome to the club,” ujar Isham.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat