Belajar bikin filem di Hollywood

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) melancarkan kempen Transformasi 2024 bertunjangkan tiga teras utama bagi memantapkan lagi kemahiran dan keupayaan ahli, sesuai dengan usia hampir tiga dekad persatuan yang mewakili lebih 20,000 pekerja filem berdaftar.

Ditunjangi presiden baharu dilantik, Khalil Salleh menggantikan Khir Mohd Noor yang sudah 13 tahun mengemudi persatuan itu, PROFIMA menetapkan sasaran mengubah mentaliti kru belakang tabir dengan ciri pembikin filem antarabangsa, selain memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan kebajikan.

Khalil berkata, usaha meningkatkan tahap profesional kru kepada standard antarabangsa bukan dalam konteks cara bekerja, malah pemikiran dan etika mereka.

“Visa saya dalam perancangan ‘mengantarabangsakan’ kru bukan bermakna kita ingin membawa semua kru ke luar negara. Ini agak mustahil kerana PROFIMA ada 21,000 kru berdaftar.

“Jika kita boleh bawa tiga hingga lima peratus kru ke luar negara sudah memadai. Kita mahu memberi pendedahan antarabangsa bukan sahaja dalam sudut kerja, sebaliknya mahu ubah pemikiran mereka dan etika kerja.

“Bagi saya tiada masalah untuk kru dihantar ke luar negara bagi menimba ilmu. Kami bukan pengarah atau penulis skrip.

“Malah, ramai kru kita seperti jurukamera, pereka kostum dan bahagian teknikal yang pernah mendapat peluang bekerja di luar negara.

 

Kepimpinan baharu PROFIMA diketuai Khalil melancarkan kempen Transformasi 2024 bertunjangkan tiga teras utama bagi memantapkan lagi kemahiran dan keupayaan ahli. Foto Ihsan Khalil Salleh
Kepimpinan baharu PROFIMA diketuai Khalil melancarka kempen Transformasi 2024 bertunjangkan tiga teras utama bagi memantapkan lagi kemahiran dan keupayaan ahli. Foto Ihsan Khalil Salleh

 

“Kalau boleh kita mahu lebih ramai lagi mendapat peluang sama. Matlamatnya, apabila mereka pulang ke Malaysia antara 10 hingga 15 tahun akan datang, mereka boleh menyumbang kepada ekosistem industri perfileman negara,” katanya kepada BH Online.

Khalil mengaku tidak gusar jika ada pihak menganggap usaha menghantar kru filem mendapat pendedahan di luar negara sebagai keterlaluan.

“Saya tahu perkara itu bukan boleh dicapai dalam tempoh singkat. Disebabkan itulah PROFIMA memperkenalkan kempen Transformasi 2024.

“Saya tidak kisah jika orang kata saya berangan. Bagi saya, seseorang perlu ada misi untuk mencapai visi.

“Paling saya bimbangkan jika tiada misi. Contohnya, FINAS ada misi membawa filem kita ke Anugerah Akademi. Biarpun ada sesetengah pihak memperlekehkan usaha perbadanan itu, bagi saya ia langkah baik.

“Sekurang-kurangnya, FINAS ada impian. Jika perbadanan itu sudah ada ‘blue print’, ekosistem kita akan berkembang dengan penyediaan pelbagai program dan peningkatan bajet,” katanya.

Khalil berkata, elemen pendidikan juga penting kerana ada ahli PROFIMA ketinggalan lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi digital.

Akuinya, kebanyakan kru tidak bersedia dan terdedah dengan ilmu digital.

“Sebenarnya, saya sangat takut dengan cabaran digital. Bayangkan, ramai personaliti YouTube bijak mengambil peluang menggunakan kemahiran digital untuk menghasilkan filem.

“Lihat sahaja Syahmi Sazli (pengarah filem Mael Totey The Movie) yang tidak ada latar belakang dalam bidang perfileman.

“Saya tidak mahu ahli PROFIMA ketinggalan. Saya mahu mereka terus bersaing dengan pengalaman dimiliki. Jadi, kita mahu dedahkan kru dengan teknologi digital,” katanya sambil menambah beliau dan pasukan kerjanya akan bekerja kuat mencapai sasaran itu.

Mengenai isu kebajikan ahli, Khalil mahu memberi tumpuan kepada perlindungan insurans dan pembiayaan perumahan untuk ahli yang masih belum selesai.

Beliau juga mahu memperjuangkan isu upah pekerja belakang tabir yang tidak berubah sejak 15 tahun lalu.

“Saya kecewa mengapa penerbit masih memandang mudah perkara itu. Kenapa bayaran untuk artis boleh naik, tetapi kru masih dibayar harga sama?

“Selain itu, soal kebajikan mereka diabaikan. Sampai sekarang masih ada kru yang ‘disumbat’ lima orang dalam bilik hotel untuk tugasan luar.” katanya yang bakal membuat pengumuman memperincikan kempen Transformasi 2024, tidak lama lagi.

Khalil berkata, ketika ini, jawatan kuasa induk PROFIMA masih mengemas kini data dan memastikan media sosial dan laman web persatuan itu aktif, demi kepentingan ahli.

Daripada 21,000 ahli berdaftar, seramai 5,000 orang dikenal pasti aktif sebagai kru filem. PROFIMA dahulu dikenali sebagai Persatuan Pekerja Filem Malaysia dan ditubuhkan pada 1993.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat