Lan Solo tiada niat kembali dengan Kristal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun sengketa dengan Rody Kristal sudah berakhir, Lan Solo, tidak merancang kembali bersama kumpulan Kristal.

Lan atau nama sebenar, Mohd Razlan Mohamed Yusof berkata, dia perlu menghormati band baharu, Kristal X dan kumpulan lama, Kristal yang sudah memiliki vokalis sendiri.

“Saya sudah ada Kristal X dan Kristal juga sudah ada penyanyi, jadi tak sepatutnya saya kembali.

“Situasi ini seperti mereka sudah ada perkahwinan baharu, takkan saya mahu kacau rumah tangga mereka? Saya perlu hormati ‘rumah tangga’ mereka.

“Saya juga harap penghormatan sama untuk keluarga baharu saya, Kristal X. Tetapi saya tidak pernah menolak jika mahu bekerjasama.

“Semua perkara yang berlaku ini mematangkan saya. Tidak perlu ada perkara negatif lagi… Buat apa hendak bermusuh.

 

Lan menjelaskan tidak berniat kembali ke pangkuan Kristal biarpun mereka sudah berbaik-baik. Foto IG Lan Solo
Lan menjelaskan tidak berniat kembali ke pangkuan Kristal biarpun mereka sudah berbaik-baik. Foto IG Lan Solo

 

“Mungkin ketika itu (sewaktu pergeseran), amarah menguasai selain faktor kepenatan serta tekanan menjayakan program realiti, Gegar Vaganza (GV),” katanya kepada BH Online.

Pada 6 Disember lalu, Lan memuat naik foto bersama Rody di Instagram (IG) selepas mereka terserempak di surau Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pertemuan itu menjernihkan hubungan mereka yang keruh sejak empat tahun lalu.

Lan berkata dia sering mendoakan hubungan mereka kembali jernih.

“Saya selalu cakap kepada isteri saya, kalau ada yang bertegur sapa, Insya-Allah kami akan terus baik. Sejujurnya, saya sangat hormat apabila Rody yang menegur saya dahulu.

“Sebelum ini, ramai yang bertanya apakah kami sudah berbaik atau belum. Saya selalu cakap biar masa yang menentukan. Betul-betul Tuhan bagi masa dan diketemukan kami pada masa sesuai.

“Saya tidak menolak untuk berbaik sebab kami sudah saling mengenali sejak kecil lagi. Emak dan ayah Rody seperti ibu bapa saya… Saya pun sudah tiada ayah.

“Saya harap hubungan baik ini berterusan dan tiada lagi pihak ketiga yang ‘mencucuk’,” katanya.

Sebelum ini, hubungan Lan dan Rody keruh selepas Lan yang masih menganggotai kumpulan Kristal menyertai musim keempat GV pada 2017.

Sementara itu, berkongsi mengenai Kristal X, Lan berkata, kumpulan itu masih aktif biarpun masing-masing ada komitmen sendiri.

“Kristal X dianggotai pemuzik profesional. Jadi, saya tidak pernah menyekat mereka ke sana-sini. Kami tiada ikatan yang membuatkan mereka perlu komited dengan kumpulan ini.

“Kami bersatu ikut projek. Jadi, tiada masalah kalau sesiapa mahu melakukan kerja lain,” katanya.

Sementara itu, Lan melancarkan video muzik single baharu berjudul 5 Kaki 4 Inci, yang boleh diperdengarkan di platform digital, hari ini.

Apa yang istimewa, video muzik single ciptaan Velvet Aduk Lawrence dan Marsha Milan itu menampilkan Ratu Cantik Kota Kinabalu 2019, Kerinah Mah.

Tumpuan terarah kepada babak di mana Lan berpegangan tangan dengan Kerinah bagi menghidupkan cerita dalam klip video berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Lan, 37, berkata, isterinya, Sheila Hassim tahu mengenai babak itu, malah, berada di lokasi penggambaran video muzik berkenaan.

“Saya seorang yang setia kepada yang satu. Apa yang ditampilkan dalam video muzik itu sekadar kerja… Kami profesional. Isteri faham itu hanyalah kerja saya.

“Saya tidak risau dengan babak berpegangan tangan. Cuma, saya risau perbuatan itu disalah anggap pihak luar,” katanya.

Lan bersyukur single yang mengandungi kira-kira 20 peratus lirik dalam bahasa Dusun itu akhirnya dilancarkan selepas setahun disimpan.

Single 5 Kaki 4 Inci edaran Life Records boleh dimuat naik di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, mulai hari ini.

Klip video single itu mula ditayangkan di saluran YouTube Lan Solo hari ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat