Kerajaan arah Mavcom, BNM tubuh jawatankuasa khas cari kaedah bayaran balik tiket penumpang MYAirline

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan bayaran balik tiket penerbangan, kepada 125,000 penumpang MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) yang telah menggantung operasinya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Mavcom dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mencari kaedah untuk memastikan penumpang mendapat bayaran balik tiket dalam masa yang cepat.

Beliau mendapat makluman bahawa syarikat itu terpaksa menanggung kerugian RM20 juta berdasarkan jualan tiket penerbangan sehingga Mac tahun depan.

“Kami faham, kebanyakan pembeli menggunakan kad kredit membeli tiket penerbangan, jadi, kita perlu kerjasama dari BNM apakah mekanisme supaya penumpang yang menggunakan kad kredit terus mendapat bayaran balik.

“Yang lain-lain, mereka boleh terus dapatkan daripada MYAirline. Walaupun bayaran sudah dilakukan, tapi perkhidmatan belum diperoleh. Jadi, kita mahu mekanisme supaya bayaran balik lebih cepat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Mavcom akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan nasib Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) yang dipegang syarikat itu.

“MYAirline masih ada lesen sampai 14 November 2023. Maka, Mavcom akan bermesyuarat secepat mungkin untuk menentukan lesen ASL mereka,” katanya.

Siew Fook berkata, MYAirline mengendalikan lapan pesawat dan mempunyai rancangan memperluas operasinya kepada 12 pesawat menjelang akhir tahun ini.

Jelasnya, ketika ini MYAirline mempunyai kira-kira 900 kakitangan dan menyediakan perkhidmatan penerbangan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke lapan destinasi domestik (Pulau Pinang, Kota Bharu, Langkawi, Kota Kinabalu, Sibu, Tawau, Kuching dan Miri) dan satu destinasi antarabangsa (Bangkok, Thailand).

Pukul 6 pagi tadi, MYAirline dalam kenyataan mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang diberitahu.

Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu berkata, keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat