Bursa Malaysia ditutup tinggi, melonjak naik 7.33 mata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, menjejaki prestasi pasaran serantau yang kukuh, dengan minat belian terutamanya dalam saham perbankan dan telekomunikasi, menjelang pembentangan Belanjawan 2024 esok.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.33 mata kepada 1,443.82 daripada 1,436.49 pada Rabu.

Indeks, yang dibuka tinggi 1.47 mata kepada 1,437.96, bergerak antara 1,437.96 dan 1,446.06 sepanjang hari.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 587 berbanding 341 manakala 439 kaunter tidak berubah, 988 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.38 bilion unit bernilai RM2.03 bilion daripada 3.01 bilion unit bernilai RM2.18 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran serantau utama turut diniagakan tinggi berikutan petunjuk positif daripada ekuiti global semalaman, didorong oleh hasil global yang berkurangan dan harapan baharu terhadap langkah-langkah rangsangan China untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

“Bagi bursa tempatan, kami terus mengekalkan pandangan optimis yang berhati-hati berikutan sentimen pasaran global yang bertambah baik dan turun naik pasaran yang berkurangan.

“Bagaimanapun, kami mencadangkan pelabur untuk terus berhati-hati menjelang pengumuman Belanjawan 2024 esok,” katanya kepada Bernama.

Pak Leng menjangka indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam julat 1,440 hingga 1,450 menjelang hujung minggu, dengan paras halangan segera pada 1,460 dan paras sokongan pada 1,430.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah sembilan sen kepada RM8.99, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.18, CIMB meningkat enam sen kepada RM5.66, Petronas Chemicals menokok empat sen kepada RM7.27 dan Tenaga Nasional naik satu sen kepada RM10.00.

Daripada saham aktif, SSF Home dan NETX, masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 26.5 sen dan 18.5 sen, MMAG Holdings dan BSL Corporation, masing-masing menambah setengah sen kepada 1.5 sen dan empat sen manakala Classita merosot setengah sen kepada tujuh sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 57.46 mata kepada 10,696.31, Indeks FBMT 100 meningkat 54.04 mata kepada 10,357.53, Indeks FBM Emas Shariah menambah 42.43 mata kepada 10,920.77, Indeks FBM 70 melonjak 80.46 mata kepada 14,226.88 dan Indeks FBM ACE naik 1.06 mata kepada 5,177.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian menambah 1.83 mata kepada 174.04, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 97.97 mata kepada 16,278.52 manakala Indeks Perladangan merosot 26.87 mata kepada 6,846.77 dan Indeks Tenaga susut 3.06 mata kepada 875.45.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.04 bilion unit bernilai RM1.73 bilion daripada 2.06 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 349.42 juta unit bernilai RM46.04 juta daripada 246.68 juta unit bernilai RM37.06 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 996.10 juta saham bernilai RM247.98 juta daripada 684.53 juta saham bernilai RM221.24 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 453.17 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (480.56 juta); pembinaan (169.62 juta); teknologi (131.07 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (79.18 juta); hartanah (314.13 juta); perladangan (29.36 juta); REIT (6.74 juta), dana tertutup (152,300); tenaga (209.27 juta); penjagaan kesihatan (29.00 juta); telekomunikasi dan media (28.13 juta); pengangkutan dan logistik (37.35 juta) dan utiliti (69.81 juta). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat