Najib keluarkan RM10.29 juta melalui 46 keping cek – saksi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, sejumlah RM10.29 juta dikeluarkan daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membayar pelbagai pihak termasuk dua Umno Bahagian, bekas menteri dan yayasan amal sepanjang tahun 2011.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, mengesahkan transaksi pengeluaran melalui 46 keping cek itu ketika merujuk penyata akaun bank milik bekas Perdana Menteri di antara Mac dan Disember 2011.

Saksi pendakwaan ke-37 berkata, jumlah itu melibatkan nilai di antara RM5,000 dan RM750,000 yang dikeluarkan pada tarikh-tarikh berbeza.

Ujar Uma Devi, ORB Solutions Sdn. Bhd. menerima RM2.45 juta (lima cek), Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. menerima RM2.2 juta (tujuh cek) dan Yayasan Rahah sebanyak RM2 juta (empat cek).

Penerima lain termasuk Qalif Umar Creative, Institut Terjemahan Negara Malaysia Bhd., Jakel Trading, Signature Exotic Cars, Hotel Shangri-La, Umno Bahagian Tun Razak dan Umno Bahagian Indera Mahkota, lapor Utusan Malaysia pada Isnin.

Selain itu, Uma Devi berkata, bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan turut tersenarai sebagai penerima cek.

Dalam keterangannya, saksi turut berkata, bekas Perdana Menteri turut menerima faedah sebanyak RM1.25 juta bagi tahun 2011 bagi kemasukan wang ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya.

Uma Devi menyatakan demikian sewaktu sesi pemeriksaan utama pada perbicaraan terhadap Najib di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan bersambung esok.

Turut hadir mengikuti prosiding perbicaraan hari ini ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, 70, dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa, 34.

Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat