Jumlah pencarum sukarela program i-Saraan KWSP melonjak 77 peratus – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bilangan pencarum sukarela terkumpul di bawah program i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melonjak sebanyak 77 peratus kepada 599,000 orang bagi tempoh suku pertama 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau juga difahamkan bahawa dana persaraan itu akan terus menyasarkan sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri bagi meningkatkan usaha perlindungan sosial itu.

“Ini bagi memastikan semua rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada simpanan persaraan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Kemudahan Insurans dan Takaful i-Lindung di sini, hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga sedang giat meneliti dasar-dasar yang dapat mempercepat proses peningkatan liputan perlindungan sosial yang akan diumumkan kelak.

Malah, beliau turut menyifatkan langkah kerajaan mengumumkan tahap gaji minimum RM1,500 pada 1 Mei 2022, akan dapat menyumbang kepada penambahbaikan kualiti kehidupan rakyat.

“Langkah meningkatkan keselamatan sosial merupakan aspek penting dalam mengurangkan jurang kekayaan selain meningkatkan gaji sara hidup.

“Jika isu struktur ini tidak ditangani segera, ia bakal menjadi risiko kepada kestabilan sosioekonomi negara di masa hadapan,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan, biarpun kerajaan dan KWSP mengkaji dasar-dasar bagi mengukuhkan keselamatan sosial untuk rakyat Malaysia bagi jangka masa panjang, aspek seperti usaha-usaha jangka pendek juga perlu diteruskan.

“Ini kerana hakikatnya, masih ramai yang tidak mengetahui langsung mengenai keperluan serta kepentingan insurans atau takaful. Jika ada yang sedar mengenai pentingnya untuk menyediakan persiapan ini, mereka pula mungkin kurang berkemampuan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia masih tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan insurans atau takaful.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi menunjukkan hampir separuh daripada jumlah rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan tambahan bagi membayar kos perubatan.

“Ini merupakan satu cabaran yang bakal dihadapi oleh rakyat kerana kita semakin hampir untuk mencapai status negara menua seawal tahun 2030,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa beban kewangan tersebut bukan setakat ditanggung oleh kerajaan, tetapi turut melibatkan kalangan pembayar cukai pada masa hadapan sekiranya warga tua tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka.

“Saya ingin menyarankan agar ahli-ahli KWSP merebut peluang mendapatkan perlindungan insurans dan takaful yang sewajarnya melalui i-Lindung,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat