Dua sahabat cipta The Last Thing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Enggan menolak faktor pengaruh penyanyi mencipta populariti di Amerika Syarikat (AS), Yuna menyaksikan single baharunya, The Last Thing mendapat pendedahan antarabangsa, Aizat Amdan memanjat kesyukuran atas kesempatan diberi sahabat baiknya itu.

Single ciptaan bersama itu diperdengarkan pada program kelolaan deejay dan penerbit terkemuka, Zane Lowe di platform Apple Music, baru-baru ini. Malah artikel mengenai single itu turut dimuatkan dalam portal Harpers Bazaar Malaysia.

Terbukti, kelahiran single The Last Thing yang dipasarkan atas jenama AI.Z atau disebut A zee untuk pasaran antarabangsa, cukup dinantikan peminat.

“Saya tidak kisah jika ada yang membuat andaian usaha ini sebagai cubaan menumpang populariti atau pengaruh Yuna yang meneroka pasaran muzik antarabangsa.

“Akhirnya, saya menganggap peluang ini bukan datang selalu. Semuanya bagai suatu perjalanan yang dirahmati. Semoga apa sahaja yang akan menyusul pada waktu mendatang akan lebih menjadikan usaha ini bermakna.

“Yuna bagi saya, selain kawan, sudah dianggap seperti ahli keluarga,” katanya kepada BH Online.

Aizat berkata, projek menghasilkan The Last Thing bermula dengan cetusan idea Yuna, tahun lalu.

“Yuna pulang ke Malaysia dan saya pula baru berpindah ke studio di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya. Saya ajak Yuna dan kumpulannya ‘lepak’ di studio secara santai dan bermain muzik.

“Tanpa disangka, Yuna menyarankan saya merakamkan lagu Inggeris. Saya beritahu Yuna, mengapa tidak. Akhirnya, semua menjadi sejarah indah sehingga terhasil projek single ini,” katanya.

Aizat sedar mungkin ada peminat bertanya mengapa selepas 14 tahun bertapak, baru dia tergerak memulakan projek yang bakal membawa dirinya menembusi pasaran global.

“Saya percaya setiap yang berlaku adalah aturan-Nya, selain ada hikmah tersembunyi,” katanya yang kali pertama bertemu Yuna pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-17 pada 2010 untuk membuat persembahan bersama.

Aizat berkata, sepanjang jamming dengan Yuna dan kumpulannya, mereka merakamkan enam lagu Inggeris baharu.

“Ketika itu, terfikir untuk muncul dengan album EP. Namun, akhirnya, kita teruskan dengan projek single.

“Hendak diikutkan, single The Last Thing menjadi antara lagu terakhir yang kami putuskan untuk dimasuk dalam senarai album EP.

“Namun, siapa sangka, lagu ini yang terakhir dirakamkan, dipilih sebagai single untuk dilancarkan,” katanya.

Aizat berterima kasih kepada pengurusan Yuna, Yuna Room Records, label Independent dan Kasi Gegar atas kepercayaan diberi.

 

Imej terbaharu Aizat Amdan dengan jenama AI.Z untuk pasaran antarabangsa. - Foto Aizat Amdan
Imej terbaharu Aizat Amdan dengan jenama AI.Z untuk pasaran antarabangsa. – Foto Aizat Amdan

 

Bercerita mengenai kisah di sebalik lagu The Last Thing, Aizat berkata, single berkenaan berkisar kisah putus cinta dan fasa meneruskan kehidupan atau move on.

“Single ini boleh dikelaskan dalam rentak R&B. Malah, Yuna menyarankan saya mencuba rentak ini. Kita sama-sama menulis lagu ini. Ajaibnya, masing-masing boleh membaca isi hati.

“Saya pula ketika itu berdepan dengan fasa hubungan peribadi yang ibarat ‘turun naik’. Yuna pula cuba menyerap emosi dan pengalaman lalu ke dalam lagu berkenaan,” katanya.

Aizat atau nama penuh, Muhammad Aizat Amdan, berkata Yuna banyak membantu dia menyebut istilah bahasa Inggeris dengan betul.

“Ketika proses rakaman, saya seperti bakat baharu yang merakamkan lagu pertama. Seolah-olah kali pertama belajar menyanyi. Banyak perkara baharu yang saya pelajari.

“Saya fikir sudah boleh menyanyi lagu Inggeris dengan baik. Ternyata banyak kelemahan yang ada. Yuna banyak memperbetulkan sebutan saya agar lebih solid,” katanya.

Menjelaskan perbezaan jenama Aizat Amdan dan AI.Z dalam berkarya, bintang Akademi Fantasia (AF) musim kelima ini menjelaskan, dua jenama terbabit meneroka pasaran berbeza.

“Aizat Amdan kekal sebagai jenama yang saya guna sejak 14 tahun lalu. AI.Z pula untuk projek pasaran antarabangsa.

“Nama AI.Z bermula daripada cadangan suka-suka dan akhirnya dipersetujui ramai sebagai jenama untuk pasaran antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Aizat, baik Aizat Amdan atau AI.Z, dirinya masih sama dengan minat terhadap dunia muzik yang menebal.

Aizat berkata, single The Last Thing pada awalnya dirancang dilancarkan, semalam.

“Bagaimanapun, rezeki saya apabila Lowe mempromosikannya terlebih dahulu. Jadi, kita terpaksa ubah rancangan. Lagu ini sudah boleh distrim di platform digital sejak 7 Jun lalu.

“Video muzik lagu ini sudah dilancarkan di saluran YouTube AI.Z,” katanya.

Single The Last Thing diterbitkan Kuizz Shah. Pernah merakamkan dua lagu Inggeris iaitu Years From Now dan Emotion dalam album Urusan Aizat Amdan.

Mendendangkan lagu I Go dan Just One Boy dalam album runut bunyi filem Talentime.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat