62 peratus Kontraktor Bumiputera bangunkan ECRL – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyaksikan penglibatan lebih 2,100 syarikat tempatan.

Ini terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal sejak tahun 2017 hingga suku pertama tahun ini. Nilai kontrak yang melibatkan syarikat tempatan dalam kerja-kerja sivil ECRL telah mencecah sekitar RM11.2 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah ini telah mengatasi sasaran RM10.7 bilion iaitu anggaran 40 peratus daripada jumlah nilai kerja-kerja sivil projek ini dan nilai kontrak penglibatan syarikat tempatan akan terus ditingkatkan sehingga tamat proses pembinaan ECRL.

“Bagi penglibatan kontraktor Bumiputera pula, sejumlah RM2.2 bilion atau 62 peratus dari sasaran RM3.5 bilion kerja Sivil ECRL telah diberikan kepada subkontraktor dan pembekal Bumiputera.

“Lanjutan dari ini, sukacita saya ingin maklumkan bahawa China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah bersetuju untuk membuat peruntukan khas bagi syarikat kontraktor Bumiputera G1, G2 dan G3 dalam pemberian kontrak pakej kerja ‘Minor Works’ di sepanjang Jajaran Projek ECRL di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor,” umum Anwar di Kelantan pada Jumaat.

Jelas beliau, komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk memacu kemajuan ECRL bukan sahaja meliputi pengambilan pekerja warga tempatan yang merangkumi golongan professional malah ia juga melibatkan pekerja mahir dan pekerja am menerusi program usahasama antara MRL, CCCC dan juga institusi-institusi pengajian yang berkaitan bagi meningkatkan kemahiran individu tempatan dalam bidang pembinaan dan operasi rel kereta api.

“Antara program sedemikian yang telah dijalankan adalah Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) akan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan kepada para graduan kita terutamanya anak-anak muda dari negeri Pantai Timur.

“Program PLKI-ECRL menawarkan peluang pekerjaan kepada 1,800 pelatih bagi fasa pembinaan ECRL dan baki 3,200 pelatih untuk fasa pengendalian operasi ECRL kelak,” kata Perdana Menteri lagi.

Anwar menambah, Kerjasama antara MRL dan CCCC tidak hanya tertumpu kepada fasa pembangunan Projek ECRL sahaja, malah dilanjutkan ke fasa pengoperasian dan penyelenggaraan infrastruktur rel ini (O&M). Oleh demikian, sebuah syarikat usahasama (50:50) kini dalam perancangan penubuhan bagi menjayakan pengoperasian perkhidmatan ECRL.

“Kerjasama ini dapat mengurangkan kos dan risiko operasi bagi negara kita apabila siapnya Projek ECRL, kerana sebarang kerugian akan ditanggung secara bersama antara MRL dan CCCC. Namun, sekiranya operasi ECRL mencatatkan keuntungan, sebanyak 80 peratus akan diserahkan kepada MRL manakala baki 20 peratus milik CCCC.

“Perkembangan ini sekali gus membuktikan keyakinan pihak dari negara China ke atas prospek keuntungan operasi ECRL yang akan menjamin kualiti serta kelestarian perkhidmatannya. Lebih-lebih lagi syarikat usahasama MRL-CCCC ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi rel yang canggih dari negara China,” ujarnya.

Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan pelaksanaan Projek ECRL ini dijalankan dengan lancar dan menepati jadual bagi mewujudkan perhubungan dua hala Pantai Timur yang berkesan, kata Anwar.

“InsyaAllah, Projek ECRL yang akan siap dalam masa 3 setengah tahun lagi akan mengubah landskap pengangkutan negara ini dengan menyediakan pengangkutan yang efisien kepada penumpang dan memudahkan perjalanan kargo di Pantai Timur dan kesan limpahan daripada projek ini dapat dirasai oleh rakyat.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan-kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor serta agensi kerajaan atas segala sokongan dan kerjasama erat dalam membangunkan Projek ECRL, ” katanya di Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL’ di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat