Menjenguk Selatan Thailand

- Advertisement -

PENGALAMAN pertama kali menjejakkan kaki ke wilayah selatan Thailand baru-baru ini tidak mungkin dilupakan penulis dan keluarga.

Kunjungan penulis bersama suami dan empat cahaya mata berusia antara tiga hingga 10 tahun itu memberi cabaran besar tapi indah sebaik dikenang semula.

Ini kerana kami menggunakan khidmat kereta api dan pengangkutan awam lain sepanjang berada di sana selama dua hari satu malam.

Mungkin bagi sesetengah ibu bapa beranggapan perjalanan bersama anak kecil yang sepenuhnya menggunakan perkhidmatan awam adalah sukar dan bakal berhadapan cabaran terutama daripada segi tempoh menunggu.

Penulis mengakui akan hal itu, tambahan pula anak yang bongsu terlalu aktif dan sangat teruja dengan setiap pengalaman baharu yang dilaluinya.

Seawal jam 5.30 pagi penulis bersama keluarga dan sembilan lagi rakan serta ahli keluarga mereka menaiki kereta api dari Stesen Keretapi Gua Musang menuju ke Pasir Mas, Kelantan.

Kira-kira jam 10 pagi, kami tiba di stesen Pasir Mas dan menunggu bas untuk ke Rantau Panjang.

 

PENULIS bersama keluarga di Stesen Keretapi Pasir Mas.
PENULIS bersama keluarga di Stesen Keretapi Pasir Mas.

 

Di situ hampir dua jam kami terpaksa menunggu untuk mendapatkan bas bagi membolehkan sampai ke pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang.

Perjalanan dari Pasir Mas ke ICQS tidak lama iaitu hanya kira-kira 30 minit dan kami melalui pintu sempadan dengan berjalan menuju ke pintu sempadan Thailand yang jaraknya kira-kira 900 meter.

Sampai di pintu masuk Thailand, penulis terkejut apabila melihat ramai yang sedang berasak-asak menanti ‘cop passport’ untuk masuk ke Selatan Thailand dan penulis difahamkan situasi itu adalah perkara biasa pada musim cuti.

 

KAMI di dalam ‘rows two’ menuju ke Pattani.
KAMI di dalam ‘rows two’ menuju ke Pattani.

 

Lebih dua jam kami terpaksa beratur dan situasi ini membuatkan kami berasa kesal kerana terpaksa membawa anak bersama ke kaunter yang dikerumuni orang ramai.

Malah si kecil terlalu aktif sehingga membuatkan bapanya kelam-kabut menjaganya.

Kami sampai di Stesen Keretapi Sungai Golok kira-kira jam 3 petang menggunakan motosikal dengan tambang RM7 dan seterusnya menukar duit Thailand di tempat penukaran duit berhampiran.

Bagi tukaran RM1,000 adalah sebanyak 7,753 bath bermakna duit kita lebih murah daripada Thailand.

 

MENIKMATI suasana matahari terbit di Pantai Teluk Sembilan, Patani.
MENIKMATI suasana matahari terbit di Pantai Teluk Sembilan, Patani.

 

Bermula di Stesen Keretapi Sungai Golok, segala urus niaga menggunakan mata wang Thailand termasuk tiket kereta api untuk ke Yala yang berharga 21 bath iaitu kira-kira RM2.70 sehala.

Sekitar jam 3.30 petang waktu Thailand (waktu tempatan lebih lewat sejam berbanding Malaysia), kereta api sampai dan sudah ramai penumpang yang menunggu.

Saat pertama kali menjejakkan kaki di atas kereta api, penulis teruja apabila melihat pengangkutan awam terbabit sangat unik kerana masih menggunakan kayu pada lantai dan kerusinya. Malah turut menggunakan kipas dengan keadaan jendela yang terbuka.

Penulis kagum biarpun ia sebuah kereta api lama, namun struktur dalamannya masih kukuh.

Selepas lebih dua jam kami menaik kereta api, akhirnya sampai di Yala dan disambut saudara terdekat seorang rakan yang turut serta dalam rombongan itu.

Kami dibawa menaiki pengangkutan awam yang dipanggil Songthaew atau ‘rows two’, iaitu sejenis kenderaan awam seperti bas, tetapi menggunakan trak yang membawa penumpang menuju ke Teluk Sembilan, Pattani.

 

MENIKMATI suasana matahari terbit di Pantai Teluk Sembilan, Patani.
MENIKMATI suasana matahari terbit di Pantai Teluk Sembilan, Patani.

 

Ini pengalaman pertama penulis bersama keluarga dan ia sangat menarik terutama bagi anak yang kelihatan teruja menikmati suasana perjalanan secara terbuka.

Kira-kira jam 8 malam kami sampai di Chalet Teluk Sembilan, Pattani dan mengambil peluang untuk membersihkan diri serta berehat.

Keesokan paginya seawal jam 7.30 pagi penulis bersama keluarga sudah ke pantai menikmati keindahan matahari terbit selain memberi peluang kepada anak untuk mandi di pantai.

Pada jam 12.30 kami bertolak pulang ke Yala dengan Songthaew yang disewa dengan harga 750 bath sehari. Selepas selesai makan tengah hari, kami ke Takbai menggunakan sebuah van putih yang memuatkan lapan dewasa dan lima kanak.

Lebih dua jam perjalanan dari Yala ke Takbai dan sebaik kami sampai, pintu sempadan hampir tutup. Penulis dan rakan adalah kumpulan terakhir melalui pintu sempadan sebelum menaiki bot menuju ke Pangkalan Kubur, Tumpat, Kelantan.

 

AIS kelapa yang sangat enak dengan harga 30 bath.
AIS kelapa yang sangat enak dengan harga 30 bath.

 

Dari Pangkalan Kubur kami ke Stesen Keretapi Tumpat menggunakan kereta sewa dengan tambang RM5 untuk dewasa sahaja, dari sini kami menaiki Keretapi Ekspres pada jam 8.30 malam dan sampai ke Gua Musang jam 1.15 pagi.

Tidak dinafikan, perjalanan ke negara jiran ini sangat memenatkan, namun penulis cukup berpuas hati kerana anak sangat gembira dengan pengembaraan singkat ini. Malah mereka dapat merasai pengalaman menaiki semua pengangkutan awam yang disediakan di negara terbabit.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat