Dituduh Terima Wang RM1.06 Juta, Bekas MB Perlis Mengaku Tak Bersalah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, sembilan tahun lalu.

Azlan, 64, memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Kelmarin, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.

Di ibu negara, tertuduh didakwa menerima wang di antara RM196,651 dan RM224,404.40 melalui empat keping cek dan secara tunai di beberapa buah bank di sini dan di Putrajaya serta di sebuah hotel di antara 2014 dan 2017.

Pertuduhan pertama, bekas Menteri Besar itu didakwa menerima wang RM208,339.90 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. melalui cek Maybank yang dibayar ke dalam akaunnya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 19 Februari 2014.

Pertuduhan kedua, Azlan didakwa menerima RM196,651 daripada syarikat sama melalui cek pada 9 Februari 2015 juga di tempat serupa.

Lapor Utusan, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan ketiga menerima RM224,404.40 daripada syarikat itu yang dibayar ke dalam akaun CIMB miliknya di bank berkenaan cawangan Putrajaya, Kementerian Kewangan pada 2 Februari 2016.

Pertuduhan keempat, Azlan didakwa menerima RM222,811.95 daripada Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank cawangan Putrajaya pada 3 April 2017.

Pertuduhan kelima, Azlan didakwa menerima wang tunai RM207,468 daripada Abdul Rahim Halim mewakili Aidil Travel & Tours yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa ia dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut pada 9 Jun ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan, pertuduhan terhadap Azlan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak membantah jika hakim berkenaan berhasrat melaksanakan kuasa budi bicara membebaskan tertuduh dengan jaminan serta menawarkan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Ahmad Akram juga tidak memohon syarat tambahan pasport diserahkan kerana dokumen perjalanan beliau kini disimpan oleh Mahkamah Sesyen Kangar ekoran pendakwaan terhadapnya pada Isnin lalu.

Ahmad Akram turut memaklumkan, pada tarikh sebutan kelak, pihak pendakwaan berhasrat untuk memohon agar kes di Kangar dipindahkan ke ibu negara untuk perbicaraan bersama.

Peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan tidak membantah cadangan nilai jaminan yang dikemukakan oleh pendakwaan kerana jumlah itu sama dengan jaminan di Kangar.

Di Kangar, Azlan selaku Menteri Besar Perlis didakwa telah mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Azlan didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.

Tertuduh berniat memperdayakan prinsipalnya membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerjaaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, antara 11 Disember 2013 dan 14 Disember 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat