MITI optimis Korea Selatan bakal jadi antara sumber utama FDI – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimis Korea Selatan akan meningkatkan kedudukannya sebagai antara sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia tidak lama lagi.

Ini kerana kebanyakan pelaburan dari Korea Selatan adalah dalam sektor kimia dan petrokimia, yang merupakan salah satu sektor tumpuan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata daripada 11 sektor keutamaan, sektor bahan kimia telah dikenal pasti sebagai salah satu sektor berimpak tinggi, pertumbuhan tinggi yang akan menyumbang kepada sasaran keseluruhan NIMP 2030.

“Pasaran bahan kimia khusus adalah besar. Dan terdapat peluang untuk Malaysia menguasai perniagaan itu dengan mengeluarkan bahan kimia khusus di dalam negara, menguasai permintaan pasaran domestik dan peluang eksport.

“Strategi kami juga ada dalam Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030, yang menyasarkan industri kimia Malaysia berada di kedudukan pertama di Asean dari segi aliran masuk FDI menjelang 2030,” kata beliau berucap sempena pelancaran ibu pejabat serantau OCI Holdings baharu di sini hari ini.

Pada tahun 2023, sumber utama FDI negara adalah dari Singapura, Amerika Syarikat, China dan Jepun.

Tengku Zafrul berkata secara kolektifnya sejak 2017, OCI Malaysia (OCIM) dan rakan usaha samanya telah memberikan komitmen hampir RM16 bilion di Malaysia.

“Kami menghargai sokongan anda dalam membantu kami membangunkan hubungan industri yang lebih besar di dalam dan luar negara.

“Kami juga menghargai pelaburan terbaharu OCIM berjumlah RM7 bilion, yang mana saya dimaklumkan akan digunakan untuk menghasilkan silikon polihabluran untuk semikonduktor dan sel solar serta epiklorohidrin (ECH).

“Pengilangan ECH di Malaysia akan mengukuhkan rantaian nilai pembuatan epoksi, menyumbang ke arah meningkatkan daya saing industri kimia di Malaysia,” katanya.

OCI Holdings, syarikat tenaga dan kimia yang berpangkalan di Korea Selatan mengumumkan pembukaan rasmi ibu pejabat serantaunya di sini, menandakan satu pencapaian penting dalam komitmennya untuk mengembangkan kehadiran syarikat di rantau ini.

Pengerusi OCI Holdings Lee Woo Hyun berkata pejabat baharu OCI M Sdn Bhd terletak di hab ekonomi yang berkembang maju di Asia Tenggara dan akan berfungsi sebagai pusat penting bagi operasi syarikat, memudahkan kerjasama yang lebih erat dengan pihak berkepentingan, rakan kongsi dan pelanggan di seluruh rantau ini.

Tengku Zafrul berkata langkah OCI Holdings itu mengesahkan daya tarikan negara sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan asing dan menekankan keyakinan yang dimiliki syarikat global dalam ekonomi, infrastruktur dan tenaga kerja mahir.

“Ia menunjukkan keupayaan negara kita untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk syarikat berkembang maju, berinovasi dan mengembangkan operasi mereka,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat