MUAR – Pelaksanaan Undi 18 buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadikan PRN hari ini berbeza berbanding Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN sebelum ini.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan Jorak DUN Bukit Pasir mendapati ramai pengundi kali pertama turun melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih.

Syarizan Aziz, 22, memberitahu beliau berasa gementar untuk mengundi kali pertama.

Pun begitu kata Syarizan, dia mengharapkan calon yang menang nanti dapat memimpin dengan baik.

“Rasa gemuruh sebab fikir takut salah undi, jadi saya tengok dengan kotak undi kena pangkah.

“Berdasarkan kepada calon yang kita tengok, masing-masing ada kebolehan masing-masing dan kita berharap sesiapa yang bakal menang nanti bakal memimpin dengan baik,” katanya.

Ditanya pendapatnya berkenaan trend lompat parti dikalangan pemimpin politik.

Kata Syarizan, “lompat parti tidak elok sebab kita sudah undi dia, tiba-tiba melompat.

Sementara itu, Ikhmal Hijjaz, 25, yang juga pengundi kali pertama berkata, dia rasa bertanggungjawab untuk memilih pemimpin masa depan.

“Semua berjalan lancar dan sistematik, tidak ada masalah. Saya yakin undi saya tidak rosak.

“Saya teruja sebab kali pertama keluar mengundi untuk tentukan mana yang memimpin kita pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Seorang pengundi kali pertama, Muhamad Zulfakrulrdzy Mazlan, 19, akui berdebar memangkah kertas undi.

“Gementar dan rasa berdebar pertama kali undi. Saya agak takut sebab tak pernah undi.

“Saya mula ingat kita kena cop jari dekat kertas undi, saya tak tahu cara untuk mengundi.

“Lepas itu orang SPR kata cuma pangkah kertas undi sahaja,” katanya.