Kompaun RM10 Ribu: Polis Nafi Ada Kuasa Budi Bicara

- Advertisement -

CYBERJAYA – Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikan kenyataan bahawa Polis Diraja Malaysia mempunyai kuasa budi bicara mengurangkan kompaun RM10,000 yang dikenakan terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Polis Negara itu, anggota polis hanya boleh menulis kompaun sepuluh ribu ringgit mengikut apa yang termaktub dalam ordinan yang telah diwartakan. Kuasa mengurangkan kompaun terletak kepada pejabat kesihatan daerah dan rayuan pengurangan perlu dibuat dengan pihak terbabit.

Kenyataan Hamid Bador ini bertentangan dengan kenyataan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2 Mac lalu yang menyatakan,

“Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara) juga dah beritahu kalau setakat tidak pakai mask (pelitup muka), tiada penjarakan fizikal itu tidak akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000, rakyat perlu memberikan kepercayaan bahawa PDRM akan menggunakan akta tersebut untuk menjaga rakyat, bukan untuk menganiaya.”

Bagaimanapun dalam sidang media semalam Hamid Bador berkata, “Mereka (anggota polis) akan menulis dalam notis kompaun itu nilai RM10,000 sebab dalam Ordinan Darurat ini ia (denda) dinaikkan dari RM1,000 ke RM10,000. Perlu diingat yang pegawai polis tidak diberikan kuasa untuk nak mengenakan seseorang itu (denda) RM10,000 ke, RM5,000 ke.. Tidak ada kuasa dibenarkan kepada mana-mana pegawai polis. Jadi dalam notis tersebut akan ditulis RM10,000.”

Di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang berkuatkuasa 11 Mac 2021, individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000.

Bagaimanapun ia dikritik oleh ramai pihak kerana berpendapat tindakan kerajaan itu membebankan terutamanya ketika ramai yang tidak berkemampuan sewaktu pandemik melanda negara.

Antara lain, kompaun untuk kesalahan di bawah Akta itu dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 bagi syarikat.

Sekiranya kes dibawa ke mahkamah, sesuatu kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM100,000, penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya.

Semalam tular seorang pelanggan restoran dikompaun RM10 ribu kerana tidak mendaftar menggunakan aplikasi Mysejahtera ketika menjamu seleras di premis terbabit. – SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat