KUALA LUMPUR- Barisan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mempertimbangkan untuk mengemukan permohonan pengampunan kali kedua kepada Yang di-Pertuan Agong.
Peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun permohonan itu tidak harus menjejaskan hak yang ada dalam titah addendum sebelum ini.
“Berkenaan dengan soalan sama ada pengampunan Diraja telah pun dikemukakan, saya jawab dengan tegas setakat ini belum.
“Namun, saya sedang berfikir kalau buat satu pengampunan baharu, ia tidak harus menjejaskan hak di bawah titah adendum kita demi memberi keuntungan kepada Najib.
“Seperti saya kata, kita harus buat dua-dua sebab addendum tersebut juga adalah satu titah Yang di-Pertuan Agong. Kita harus hormat,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Sementara itu, Shafee turut mengulas mengenai arahan Najib berhubung isu bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang berkaitan titah addendum.
Menurutnya, Najib telah memberi arahan agar satu tindakan penghinaan mahkamah diambil terhadap bekas Peguam Negara itu.
Tambah beliau, pihaknya akan memfailkan permohonan itu selewat-lewatnya Jumaat.
“Kita sudah dapat arahan daripada Najib supaya satu tindakan penghinaan mahkamah diambil terhadap bekas Peguam Negara itu. Dokumen berkaitan permohonan ini sudah siap cuma perlu masa untuk kami teliti sebelum fail sebelum Jumaat ini.
“Tindakan ini juga kita ambil berdasarkan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa titah addendum telah diterima Pejabat Peguam Negara ketika itu. Bekas AG kemudian serah titah tersebut kepada Agong kini.
“Pada pendapat kita, tindakan itu salah kerana titah addendum itu sudah menjadi satu dekri oleh Agong. Tindakan yang sepatutnya dilakukan adalah melaksanakan apa yang ada dalam addendum itu dan bukan serah kepada Agong kini kerana baginda tidak boleh bertindak sebagai pelaksana addendum itu,” lapor Sinar Harian.
Shafee mendakwa, Ahmad Terrirudin juga tidak bersikap jujur, telus dan bertanggungjawab.
“Apabila prosiding kes berkaitan Titah Adendum di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, perkara itu tidak disebut langsung sehingga Adendum menjadi ‘hear say’.
“Malah cabar kita untuk buktikan Titah Adendum itu benar-benar wujud dan bukannya sekadar dengar cakap sahaja,” jelasnya.