KUALA LUMPUR – Dua pemimpin parti gabungan Sabah dan Sarawak menolak dakwaan bahawa sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini goyah dan kononnya Malaysia bakal melalui PRU mengejut menjelang hujung tahun.
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Datuk Seri Masidi Manjun dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing menegaskan bahawa kedudukan Anwar malah semakin kukuh sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri pada Nov 2022.
Karim, naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata, tempoh pentadbiran Anwar hanya akan berakhir pada 2027, iaitu “masih lama lagi”.
“Jika Bersatu mahu mula turun padang dan membuat persediaan untuk pilihan raya mengejut, biarlah. Bukannya jaminan mereka akan mampu menang PRU16 dan membentuk kerajaan kerana mereka perlu menang sokongan rakyat terlebih dulu.
“Bersatu mungkin merasakan perdana menteri semakin hilang sokongan, tetapi bagi majoriti pasif khususnya di negeri Borneo, mereka merasakan perdana menteri mentadbir Malaysia dengan baik.
“Secara peribadi, saya rasa kita semua patut memfokuskan terhadap pembinaan negara bangsa dan kurangkan bermain politik. Bila tiba masanya untuk PRU16, maka tunjukkanlah nilai parti anda sebagai alternatif kepada gabungan sedia ada untuk mentadbir dan menguruskan Malaysia,” kata menteri Sarawak itu lapor FMT.
Masidi yang juga setiausaha agung GRS berkata, Anwar tidak hilang sokongan kuat dalam Dewan Rakyat yang berada pada kedudukan lebih dua pertiga dengan sokongan 153 Ahli Parlimen.
“Melainkan ada politik tersembunyi di Kuala Lumpur yang saya sendiri tidak tahu, saya sejujurnya tidak melihat bagaimana perdana menteri akan hilang majoritinya dalam masa terdekat.
“Lagipun, pembangkang meramalkan kejatuhannya hanya beberapa minggu selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Sebaliknya, kedudukan beliau semakin kukuh lagi,” katanya.
Dua pemimpin itu mengulas gesaan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jentera partinya digerakkan sebagai persediaan untuk kemungkinan PRU mengejut diadakan, hujung tahun ini.
Menurut Setiausaha Agung Datuk Seri Azmin Ali, Muhyiddin mengeluarkan arahan itu dalam mesyuarat Bersatu minggu lalu, yang turut membincangkan ‘perkembangan yang amat meyakinkan’ bersama kepimpinan tertinggi Pas.
Ahli kelab penyokong kerajaan kemudian mengingatkan Bersatu bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi amaran kepada Ahli Parlimen supaya tidak menggugat kestabilan politik ketika membuka sesi Dewan Rakyat tahun ini.
Menurut Perkara 43(4) Perlembagaan, perdana menteri yang hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat mesti meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen atas permintaannya.
GPS dan GRS adalah sekutu utama dalam pentadbiran Anwar, tetapi sebelum ini juga menyokong pentadbiran pimpinan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dari 2020 hingga 2021, dan penggantinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari Umno, dari 2021 hingga 2022.
Selepas parlimen tergantung berlaku susulan PRU15, GPS dan GRS pada mulanya menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri, tetapi kemudian berkata akan akur cadangan Agong ketika itu untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan.