E-mail Pembaca: Zuraida Amat Diperlukan Di Dalam Jawatankuasa Khas Adib

- Advertisement -

Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat kes Allayarham Muhammad Adib bin Mohd Kassim.

Penubuhan jawatankuasa ini merupakan satu langkah yang harus dipuji, kerana sungguhpun telah sekian lama berlaku, sehingga ke hari ini, mereka yang menyebabkan kematian Allahyarham Muhammad Adib masih lagi belum dijumpai oleh pihak PDRM.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ini turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Namun begitu, nama mantan Menteri KPKT yang kini Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, tidak disenaraikan oleh Perdana Menteri di dalam pengumumannya itu.

Penyertaan YB Datuk Hajah Zuraida merupakan suatu perkara yang amat penting kerana beliau adalah antara figura penting yang terlibat dari awal dalam usaha bagi mencari keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib.

Kerajaan Malaysia harus akui bahawa jika YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin tidak bertegas bahawa inkues perlu dilaksanakan selepas kematian arwah, sudah tentu Kerajaan Malaysia (di bawah Pakatan Harapan pada ketika itu) hanya mengklasifikasikan kes ini sebagai kes kemalangan atau kecuaian sahaja.

Malah, YB Datuk Hajah Zuraida juga merupakan pemimpin yang telah melantik Peguam Syazlin Mansor, yang telah mewakili pihak keluarga Allahyarham Muhammad Adib sehingga Mahkamah Koroner telah bersetuju bahawa Muhammad Adib bin Mohd Kassim telah meninggal dunia disebabkan oleh perbuatan jenayah sekumpulan orang ramai.

Perlu juga dinyatakan di sini, semasa Allahyarham Muhammad Adib sedang tenat di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), YB Datuk Hajah Zuraida lah yang telah berusaha untuk memindahkan Adib ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan yang lebih terperinci dari pakar-pakar di sana. Beliau yang menganggap Adib sebagai anaknya akan sentiasa melawat Adib di hospital hampir setiap hari.

Adalah suatu perkara yang amat tidak wajar untuk Perdana Menteri Malaysia mengenepikan figura yang amat penting ini di dalam jawatankuasa yang membincangkan hala tuju kes yang begitu dekat di hati setiap rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu.

Kita tidak tahu mengapa YB Datuk Hajah Zuraida tidak dipanggil untuk menganggotai jawatankuasa ini, namun walauapapun alasannya, adalah penting untuk YAB Perdana Menteri menilai semula keanggotaan jawatankuasa tersebut.

Penulis menyeru agar YAB Perdana Menteri untuk melibatkan YB Datuk Hajah Zuraida dan juga kesemua mereka yang terlibat secara langsung di dalam kes ini untuk terlibat sama, untuk memastikan setiap sudut dapat dilihat semula bagi memastikan nasib Allahyarham Muhammad Adib akan dapat dibela.

Seluruh rakyat Malaysia berharap agar Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd Kassim mendapat pembelaan sewajarnya. Namun untuk mencapai keadilan ini, Kerajaan Malaysia haruslah bersikap telus dan beramanah dalam melaksanakan setiap perancangan bagi penyelesaian kes ini.

Lela Rentaka,
Bandar Baru Bangi, Selangor

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat